Pagi tadi berlangsungnya hujahan terakhir kes pendakwaan ke atas 19 pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang didakwa membunuh dan mencederakan rakan se-universiti mereka, Pegawai Kadet Laut UPNM Zulfarhan Osman Zulkarnain, dua tahun lepas.

Sebaik selesai, Mahkamah Tinggi menetapkan tarikh 31 Julai ini untuk keputusan kes tersebut.

Hakim Datuk Azman Abdullah menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan dan penjelasan daripada kedua-dua pihak.

Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim ketika ditemui pemberita selepas prosiding berkata, antara intipati hujahan yang disentuh pihak pendakwaan ialah mengenai 90 kesan tekapan seterika wap pada mangsa.

“Laporan yang diberikan pakar patologi dari Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Dr Salmah Arshad menunjukkan kesan tekapan itu menyebabkan mangsa mengalami 80 peratus melecur pada tubuh badannya.

“Pihak pembelaan turut membangkitkan mengenai kesan kecederaan yang tidak kelihatan ketika kejadian namun, berdasarkan keterangan saksi, mangsa menjerit setiap kali dipukul dan ditekap dengan seterika,” katanya.

Barisan peguam yang mewakili tertuduh ialah Amer Hamzah Arshad, Datuk Ranjit Singh Dhillon, A.G. Kalidas, Datuk Hazizah Kassim, Datuk Seri M. Ramachelvam, Azizul Shariman Mat Yusoff dan Zamri Idrus.

Seramai 29 saksi pendakwaan memberi keterangan sepanjang perbicaraan yang bermula Januari 2018, termasuk dua saksi mata iaitu pelajar UPNM, Ahmad Senabil Mohd dan Mohd Syafiq Abdullah.

Isu lain yang turut dibangkitkan pihak pembelaan ialah mengenai punca kematian mangsa bukan disebabkan kecederaan ketika kejadian tetapi disebabkan faktor luaran dan peranan setiap pelajar UPNM terbabit serta niat bersama mereka seperti dalam pertuduhan.

Berhubung niat bersama, kata Julia, pihaknya menghujahkan bahawa prinsip niat bersama berjaya dibuktikan berdasarkan keterangan saksi yang melihat kejadian tersebut serta penglibatan setiap pelajar terbabit.

Enam penuntut UPNM, Muhammad Akmal Zuhairi, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali menghadapi pertuduhan membunuh dan bersubahat membunuh Zulfarhan Osman di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara 4.45 pagi dan 5.45 pagi, 22 Mei 2017.

Pertuduhan terhadap mereka yang kesemuanya berusia 22 tahun, dibuat mengikut Seksyen 302 dan 109 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mereka bersama 13 lagi penuntut lain turut didakwa atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap mangsa bagi maksud hendak memerasnya untuk mendapatkan pengakuan mencuri komputer riba, mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Zulfarhan Osman meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017 dipercayai akibat didera selepas dituduh mencuri komputer riba milik rakannya.

Sementara itu, di laman sosial Twitter tular rakaman tertuduh yang dimuat naik menerusi Insta Story adik mangsa, @_zulhelmieidros.

Difahamkan, rakaman yang dibuat pada perbicaraan pada 34 minggu lalu memaparkan reaksi tertuduh yang kelihatan tersenyum semasa melalui perkarangan mahkamah.

Secara tidak langsung, rakaman itu menarik reaksi ramai warganet yang mengharapkan kematian Zulfarhan mendapat pembelaan sewajarnya.

Sumber: Bernama dan Instagram @_zulhelmieidros

Iklan