Seorang jurutera di Australia tidak berputus asa untuk terus mendakwa bekas penyelianya yang didakwa suka membuli dengan kentut di depannya apabila membawa kes tersebut ke Mahkamah Tinggi pula, lapor Daily Mail.

Sebelum itu, kes yang difailkan David Hingst, 56, telah ditolak oleh Mahkamah Rayuan negeri Victoria.

Mahkamah tersebut mengekalkan keputusan Mahkamah Agung Australia bahawa apa yang berlaku itu benar, tetapi kentut tidak semestinya dianggap satu tindakan membuli.

Dalam saman itu, Hingst menuntut ganti rugi sebanyak A$1.8 juta (RM5.2 juta) daripada bekas majikannya di Melbourne iaitu syarikat Construction Engineering.

Hingst mendakwa bekas penyelianya, Greg Short, sering masuk ke pejabatnya yang tiada tingkap beberapa kali sehari semata-mata untuk kentut dan menganggap tindakan itu satu jenaka.

“Dia pernah kentut di belakang saya sebelum melarikan diri dan mengulanginya sebanyak lima ke enam kali setiap hari,” kata Hingst semasa ditemui pemberita. – MHE TV

Iklan