Setelah berbelas tahun mengusahakan perniagaan restoran Khadijah’s Kitchen, penyanyi popular, Datuk Khatijah Ibrahim minat bergelar tauke durian pula!

“Setelah lebih 10 tahun mengusahakan restoran dengan menu dalam dan luar negara, lebih setahun lalu, saya beri laluan anak sulung saya, Siti Hajar dan suaminya, menguruskannya. Pun begitu, saya sedia menasihatkan mana padan dan perlu.

“Sekarang kalau cakap tentang bisnes saya sudah berbincang dengan seorang kawan tentang ‘projek’ tanam dan jual durian. Nak teroka perniagaan ini pula.

“Buat waktu sekarang, tapak penanaman durian dikenal pasti dekat kawasan Karak,”kata peminat buah durian yang melihat masa depan cerah kalau dapat bersama-sama pengusaha durian lain membekalkannya untuk pasaran tempatan dan luar negara.

“Jadi lepas ni kenalah mendalami ilmu perniagaan durian. Kemungkinan besar tahun depan nak memulakannya,” cerita Khadijah.

“Selain itu, saya juga nak kembangkan lagi perniagaan pes makanan dari Khatijah’s Kitchen yang sebelum ini sudah beroperasi di pasaran dan terkenal antaranya Rendang Ayam, daging dan yang sedang dalam perancangan Pajeri Nanas, Mi Kari, Laksa dan beberapa lagi,” cerita ibu dua orang anak yang mempunyai sepuluh orang cucu.

Malam ini bertempat di kawasan peranginan Desaru Coast, Khatijah Ibrahim antara tiga lagi artis terkenal, Datuk Jamal Abdillah, Datuk Khadijah Ibrahim dan Francesca Peter bakal menjayakan pementasan A Night With Legends Concert.

Ketua Pegawai Eksekutif Desaru Coast , Roslina Arbak, melahirkan rasa gembira kerana usaha mereka sebagai penganjur utama untuk konsert menemukan empat orang penyanyi legenda tanah air Datuk Ramli Sarip, Datuk Khatijah Ibrahim dan Francesca membuatkan hasil.

“Dalam persembahan lebih sejam itu nanti mereka akan diiringi oleh band yang dikendalikan komposer Bell Fata,” katanya yang menghargai sokongan mereka dalam kalangan korporat dan peminat terhadap usaha menjadikan Desaru Coast di Johor terkenal sebagai salah satu lagi lokasi baharu tumpuan pelancong tempatan dan dunia di selatan tanah air. -MHE TV

Iklan