Anda pernah alami kisah misteri? Seram?, Terutamanya melibatkan kediaman yang anda diami sekarang ini? Rasanya pasti menakutkan, apatah lagi jika terpaksa menghadapi situasi yang sama saban hari. Itulah yang ingin penulis ceritakan. Kisah seorang wanita bernama Siti yang tinggal di sebuah kondominium mewah di Petaling Jaya. Lokasi dan nama kondominium tersebut biarlah penulis rahsiakan, takut kalau-kalau ramai pula yang berpindah lepas baca cerita ni. Kisahnya begini…

Malam itu Siti pulang lewat kerana terpaksa menyiapkan tugasan yang diberikan oleh majikannya. Maklumlah kerja sebagai pereka hiasan dalaman memang tak tentu masa, apatah lagi bila syarikatnya tiba-tiba dapat ‘job urgent’ yang perlu disiapkan dengan kadar segera, jadi mahu tak mahu terpaksalah dia bertunggu tangga di opis sebab nak kejarkan ‘deadline’ sehinggakan adakalanya nak masuk azan subuh baru dia sampai ke rumah.

Tapi hari ini kerjanya dah beres awal. Sebelum jam 11.00 tadi dia dah letak semua tugasan yang diberikan di meja bosnya, lepas tu terus dia capai kunci kereta dan bergegas pulang. Perjalanan dari tempat kerja ke rumahnya pula ambil masa lebih kurang 30 minit, nasib baiklah malam-malam buta ni kenderaan dah kurang kat jalanraya, bolehlah dia memandu dengan tenang.

Sebaik saja dia selesai meletakkan keretanya di petak parkir kepunyaannya, lantas dia berjalan perlahan menuju ke arah lif yang terletak kira-kira 200 meter di hadapannya. Siti toleh jam di tangan. Sudah hampir jam 1.00 pagi rupanya. Siti pandang keliling. Seorang umat manusia pun tidak kelihatan. Arif benar dia dengan kawasan kediamannya, memang begitulah kebiasaannya, lepas saja jam 10.00 malam memang sunyi sepi, kalau ada pun hanyalah kelibat pengawal keselamatan berbangsa Nepal yang sesekali meronda dari satu blok ke satu blok yang lain.

Antara sebab utama yang membuatkan Siti menyewa kondominium di situ adalah kerana tempatnya yang cukup ‘privacy’ dan jauh dari kesibukan. Majoriti yang tinggal di situ juga kebanyakannya adalah warga asing seperti Korea, Jepun dan juga beberapa kerat mat saleh. Warga tempatan yang ada pun hanyalah bangsa cina, yang melayu boleh dibilang dengan jari. Siti sendiri pun menyewa bersama dua orang rakannya. Kalau seorang diri memang dia tak mampulah sebab sewa bulanan pun dah cecah RM1500, itu pun tak termasuk bil-bil sampingan lain lagi.

Siti toleh ke arah pohon-pohon hijau yang sedang meliuk-liuk ditiup angin di kawasan parkir berhampiran. Serta merta dia berpeluk tubuh menahan sejuk gara-gara angin yang menampar tubuhnya ketika itu. Mungkin sebentar lagi hujan akan turun bisiknya dalam hati, lantas dia mempercepatkan langkah menuju ke lif. Sementara menunggu pintu lif terbuka sekali lagi matanya liar memandang sekeliling. Entah kenapa tiba-tiba dia rasa macam tak sedap hati. Seperti ada yang tidak kena, bulu tengkuknya terasa tegak berdiri.

“Ting”…. Sebaik saja pintu lif terbuka lantas Siti bergegas masuk. Lantas ditekannya butang nombor 15 iaitu tingkat kediamannya. Sedang dia menunggu untuk dibawa ke atas, tiba-tiba..”ting” lif yang dinaikinya berhenti di tingkat 3A. Siti tersentak. Siapa pula yang nak naik ke tingkat atas malam-malam buta ni, fikirnya dalam hati, dan sebaik saja pintu lif terbuka kelihatan seorang wanita sedang ingin melangkah masuk…

Siti cuba melemparkan senyuman, namun wanita tersebut langsung tidak membalasnya. Dia hanya berdiri di sebelah Siti sambil menundukkan kepala, Siti kerling perlahan ke arahnya, mungkin wanita ini baru pulang dari kerja agaknya, bisik Siti dalam hati, apatah lagi bila wanita tersebut mengenakan skirt hitam separas lutut dan baju kemeja putih yang sekali pandang tak ubah seperti seorang pelayan atau juruwang yang bekerja di pasaraya.

Namun tiba-tiba Siti diterjah rasa pelik, kenapa pula wanita tersebut tidak menekan butang lif? Adakah dia terlupa ataupun ingin naik ke tingkat 15 sama dengannya,dan ketika Siti ingin membuka mulut untuk bertanya, tiba-tiba jantungnya berdebar kencang. Tubuhnya terasa longlai tidak bermaya. Mata Siti terpampan ke arah cermin yang berada di dinding lif, di mana ketika itu matanya hanya melihat tubuhnya saja yang ada di cermin tersebut…

Siti kelu tanpa sebarang kata. Dia serta merta menggigil ketakutan. Dipandangnya sekali lagi cermin yang melekat di dinding lif tersebut, memang sah hanya dia saja yang ada di situ manakala imbasan wanita tersebut langsung tidak kelihatan. Tapi wanita tersebut masih lagi wujud dan berdiri di sebelahnya sambil menundukkan kepala. Siti hampir nak pengsan. Bibirnya terketar ketakutan, tak disangka dia sudah terkencing dalam seluar.

Siti berharap agar lif yang dinaikinya cepat sampai ke tingkat 15. Dia sudah tidak mampu lagi untuk menghadapi situasi itu. Dalam hati siti berdoa kepada Allah SWT agar dia tidak ditimpa sesuatu perkara yang buruk ketika itu. Fikirannya mula merewang jauh, takut kalau-kalau wanita tersebut bertukar menjadi sesuatu yang di luar jangkaannya. Dengan lif yang sebesar itu, apa yang boleh dilakukan, nak lari atau menjerit minta tolong pun tiada siapa yang dengar.

“Ting!” Pintu lif terbuka di tingkat 15. Apa lagi tanpa sempat lif tersebut terbuka luas Siti telah melompat keluar dan berlari sekuat tenaga ke koridor untuk menuju ke pintu rumahnya. Siti tak toleh ke belakang lagi, waktu itu langsung dia tak hiraukan kasut yang dipakainya tercabut dan bertaburan di lantai, apa yang dia fikir adalah ingin sampai cepat ke pintu rumahnya.

Dan ketika dia sedang kelam kabut mencari kunci rumah di dalam beg tangan yang dibawanya, ketika itulah di hujung koridor dia nampak sekali lagi wanita tersebut berdiri tegak sambil memandang tepat ke arahnya. Siti tergamam. Jelas kelihatan wanita tersebut mengangkat sedikit mukanya dan merenung tajam ke arahnya. Kakinya menggigil seolah sudah tidak mampu untuk berpijak di bumi lagi. Peluh sudah membasahi pakaiannya. Tiba-tiba pandangannya menjadi gelap. Lantas dia terjelepok jatuh di hadapan pintu rumahnya…

Sedar-sedar saja dia sudah berada di katil hospital. Dua orang rakannya seakan bingung, tak sabar untuk tahu apa sebenarnya yang terjadi. Mengikut kata rakannya pengawal keselamatan yang meronda waktu itu nampak Siti pengsan di hadapan pintu, lantas pengawal tersebut menekan loceng mengejutkan mereka. Terus Siti dibawa ke hospital, nasib baiklah doktor beritahu Siti hanya pengsan saja.

“Kita pindah saja… cari rumah lain…” kata Siti dengan wajah pucat. Shima dan Nurul berpandangan. Dalam hati mereka tertanya-tanya apa yang berlaku sebenarnya.

“Takpe, nanti aku cerita kat korang. Tapi aku dah tak nak stay situ lagi…” kata Siti lagi sambil menangis perlahan. Memang Siti trauma dengan apa yang berlaku. Ikutkan hati dia langsung tak mahu jejak kaki lagi ke kondominium tersebut, namun Siti akur bukan mudah untuk dia berpindah serta merta. Dia kena fikirkan tentang rakan-rakannya, dan deposit yang telah dibayar pada tuan rumah sebelum ini. Yang pasti dia terpaksa tinggal dua bulan lagi di situ kerana pasti tuan rumahnya akan menolak depositnya sebelum dia keluar dari rumah tersebut. Jantungnya kembali berdebar dan berdegup kencang…

Sumber gambar: Merdeka.com

Iklan