Setelah dua dekad hilang dari radar seni, penyanyi Korie kini kembali dengan single terbaharu hasil ciptaannya sendiri berjudul Berhenti Tentangmu.

Korie mahu tampil memeriahkan semula dunia seni tanahair dan berharap single baharunya itu dapat mengubat kerinduan peminat terhadapnya.

“Setelah 20 tahun saya tinggalkan industri, saya akan keluar dengan single terbaharu berjudul Berhenti Tentangmu yang saya cipta sendiri.

“Ia berkisar tentang seseorang yang telah ditinggalkan kekasih dan berusaha untuk menjadi lebih kuat. Lagu ini lebih kepada redha, mengajar kita untuk kembali kepada Dia.

“Teruslah menyokong saya dan mudah-mudahan lagu ini tersemat di jiwa anda semua,” katanya kepada MHE TV.

Dalam perkembangan lain, Korie kini sibuk membuat persiapan untuk Konsert Dinner GIG 2018 Ella dan Awie yang akan diadakan di Hotel Tenera, Bangi pada 7 Disember ini.

Korie selaku Pengarah Muzik untuk konsert tersebut bakal membawa barisan pemuzik yang cukup berbakat namun tidak berpeluang untuk diketengahkan. – MHE TV

Iklan