Ooo…baru tahu rupanya kenderaan untuk kegunaan membawa jenazah dan anak-anak yatim sebenarnya layak mendapat pengecualian untuk membayar cukai jalan.

Mujur ada seorang pengguna laman Facebook yang sudi berkongsi tentang info berguna ini. Memetik status dimuat naik oleh Akhi Akmal, masih ramai belum mengetahui tentang perkhidmatan yang diperkenalkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Yang ini satu lagi khidmat JPJ buat tapi ramai lagi yang masih belum dapat info.

“Kenderaan untuk van jenazah dan rumah anak yatim kebanyakannya masih lagi membayar cukai jalan.

“Sebenarnya, mereka boleh membuat pengecualian,” tulisnya beliau dalam laman Facebook miliknya.

Beliau turut menyarankan orang ramai yang ke masjid supaya menghebahkan maklumat ini kepada ahli jawatankuasa masjid.

“Nanti kalau pergi masjid, tanyakan kepada AJK masjid cukai jalan bayar atau tidak. Jika dah bayar, beritahu mereka ia sepatutnya percuma dan permohonan ini boleh dibuat terus di JPJ.

“Kalau rajin tolong buatkan sekali, dapat pahala,” ujarnya sambil melampirkan maklumat borang permohonan pengecualian cukai jalan.

Pada masa yang sama, beliau turut berpesan mana-mana pihak terlibat yang ingin berbuat demikian mestilah membuat permohonan selewat-lewatnya satu atau tiga bulan dari tarikh luput cukai jalan semasa.

“Kalau nak buat, jangan tunggu cukai jalan luput. Satu atau tiga bulan sebelum luput boleh terus membuat permohonan.

“Sebab permohonan ini bukan terus dapat. Puspakom macam biasa, wajib masuk dua kali setahun serta insurans. Cukai jalan sahaja percuma,” ulasnya lanjut.-MHE TV

Iklan