Penyanyi Malaysia yang semakin popular di Indonesia, Baby Shima menafikan lagu baharunya berjudul Pura-Pura Bujang ditujukan buat Aliff Aziz.

Lagu ciptaan sepenuhnya oleh komposer popular Ezra Kong ini dikatakan kononnya menyindir Aliff kerana kisah lagu itu ada persamaan dengan kontroversi bekas suami kepada penyanyi Bella Astillah.

Sebelum ini Aliff dikaitkan dengan kontroversi kerana mempunyai hubungan sulit dengan beberapa selebriti.

“Lagu Pura-Pura Bujang ini mengisahkan seorang suami ‘buaya darat’ yang sudah pun mempunyai anak tetapi selalu bersikap curang dengan isterinya yang selalu taat dan setia. Pendek kata, dia selalu mengkhianati kepercayaan isterinya.

“Sejujurnya lagu ini bukanlah ditujukan atau bertujuan untuk menyindir Aliff Aziz. Tidak sama sekali.

“Mungkin kontroversi Aliff Aziz yang lalu membuatkan ada yang mengaitkan lagu ini dengannya.

” Sebenarnya, lagu ini ditujukan buat mana-mana suami yang suka curang secara umum, bukan khas buat Aliff,” kata Baby Shima ketika dihubungi MHE TV selepas dia menjayakan sebuah acara di Pulau Pinang, malam tadi.

Baby Shima atau nama sebenarnya Nor Ashimah Ramli, 26, berharap kerjasamanya bersama Ezra Kong dapat diterima peminat muzik tempatan.

“Alhamdulillah..nama saya semakin dikenali di negara sendiri walaupun tidaklah sehebat penyanyi muda lain.

“Terima kasih kepada syarikat rakaman Music Valley yang memberi peluang kepada saya merakamkan lagu Pura-Pura Bujang ini.

“Diharapkan lagu ini dapat diterima baik oleh peminat-peminat di sini,” jelasnya lagi yang popular dengan lagu Roadblock Hatiku nyanyiannya bersama Floor 88 dan Manis-Manis Cinta duet dengan Syafiq Farhain.

Antara lagu solo Baby Shima yang semakin popular adalah Makan Hati, Jaran Ucul, Main Mata, Abang Satu Ringgit dan banyak lagi. – MHE TV

Iklan