Menghuni carta Top 5 Best Talent Miss World 2018 yang kini sedang berlangsung di Sanya, China, wakil negara, Larissa Ping Liew, 19, diharap mampu menyaingi pencapaian Lina Teoh yang berjaya merangkul tempat ketiga di pentas Miss World 1998.

Persembahan solo Larissa bermain sape diumumkan sebagai Top 5 Best Talent dalam Miss World 2018.

Bukan itu sahaja, sebelum ini, anak kelahiran Kuching, Sarawak berketurunan Cina-Kenyah itu turut berjaya dipilih sebagai Top 5 Best Designer Award dan Top 32 Miss World Top Model.

Kecantikan dan kebijakan Larissa jadi bualan peminat ratu cantik dunia.

“Berada di kedudukan kelima untuk cabaran bakat sudah cukup bermakna buat saya, apatah lagi perlu bersaing dengan ratusan peserta lain yang sememangnya berbakat.

“Saya berbangga kerana mampu mempersembahkan satu persembahan istimewa dengan bermain sape, sekali gus mengangkat budaya negara ke mata dunia.

Larissa dipilih sebagai Top 32 Miss World Top Model.

“Itu adalah persembahan solo pertama saya di peringkat dunia dan apabila diumumkan berada di kedudukan kelima daripada 117 peserta yang bertanding, tiada apa lagi yang boleh saya katakan selain bersyukur,” katanya memetik status di laman Instagram miliknya.

Miss World Malaysia 2018 menjadi pilihan peminat ratu cantik dunia untuk mara ke peringkat seterusnya.

Lebih menarik, beberapa akaun rasmi media sosial telah meramalkan bahawa Larissa antara peserta yang wajib mara ke peringkat tertinggi pertandingan tersebut.

Justeru, Malaysia meletakkan harapan pada Larissa untuk mencipta sejarah sebagai Miss World yang pertama dari negara ini, secara tidak langsung melakar sejarah tersendiri. – MHE TV

Ruang komen
Iklan