“Alangkah leganya hati saya apabila dapat berjumpa dengan Pak Ya dan mendapat keampunan daripadanya,” luah Lan Pet Pet kepada MHE TV.

Lan atau Mazlan Ahmad, 50, berkata demikian setelah dia bertemu dengan Yahya Manap, 68, pengawal keselamatan warga emas yang ditendangnya dalam satu kejadian baru-baru ini.

Pelawak itu menjelaskan, pertemuan tersebut diadakan di sebuah lokasi di Nilai, Negeri Sembilan serta dihadiri wakil keluarga daripada kedua-dua belah pihak.

“Sejak insiden tersebut, fikiran saya runsing dan hati saya tidak tenteram mengenangkan perbuatan yang dilakukan terhadap Pak Ya.

“Saya bersyukur kerana Pak Ya dan keluarganya menerima pelawaan untuk bertemu,” ujar Lan yang terus menghubungi Pak Ya untuk mengaturkan pertemuan.

Lan dan Pak Ya bermaaf-maafan pada sesi pertemuan yang diadakan di sebuah lokasi di Nilai. (Kredit Foto NSTP)

Usai pertemuan tersebut, Lan berjanji akan menjaga kebajikan Pak Ya seperti ahli keluarganya sendiri dan merancang untuk membawa warga emas itu serta isterinya menunaikan umrah.

Pada 15 April lalu, Mazlan didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Seremban selepas mengaku salah memukul Pak Ya yang bertugas sebagai pengawal keselamatan di Acacia Park Desa Jati, Nilai dalam kejadian pada 6 April.

Kesalahan dilakukannya itu adalah berdasarkan pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibacakan di hadapan Majistret Mayon Yusof. – MHE TV

Iklan