Kelab Peminat Liverpool (LFC) di Malaysia akan dapat mengalami dan mengikuti pelbagai aktiviti dan bertemu dengan wira LFC seperti Jason McAteer, Sami Hyypia dan Steve McManaman, hujung minggu ini.

Mereka juga berpeluang memenangi tiket untuk bersemuka dengan pemain kesayangan itu sewaktu sesi khas pertemuan dan ramah mesra bersama legenda Liverpool yang akan diadakan di Hab Dunia LFC di pusat membeli belah One Utama.

“Untuk peminat Reds di Malaysia, mereka perlu berada di Dunia LFC World Kuala Lumpur. Kami tahu tidak semua peminat boleh datang ke Anfield, jadi inilah cara kami membawa Anfield dekat kepada mereka. Kami tidak sabar untuk bertemu peminat, ia akan menjadi satu hujung minggu yang hebat,” kata Hyypia.

Di dalam ‘Hab’, peminat Liverpool akan merasai pengalaman berada di Anfield dengan penjelmaan semula lokasi ikonik seperti Shankly Gates, papan tanda ‘This is Anfield’ dan bilik persalinan khas Anfield di Dunia LFC, di mana peminat berpeluang untuk duduk di hadapan baju pemain kegemaran mereka – Mohamed Salah, Sadio Mane, Virgil Van Dijik dan Roberto Firmino.

Terdapat banyak aktiviti untuk disertai peminat, di sepanjang acara dan turut disediakan hadiah istimewa atau cenderahati.

Peminat juga berpeluang mengalami suasana Anfield di pesta pengenalan khas di Hab Dunia LFC pada hari Ahad.

Ia merupakan aktiviti pentas secara langsung bersama Lagenda LFC sebelum bermulanya perlawanan menentang Cardiff City yang bermula pada jam 11pm.

Dunia LFC yang dibawakan khas Standard Chartered, buat musim ketiganya telah berada di sembilan lokasi di seluruh dunia, membawakan pengalaman LFC sebenar kepada ribuan peminat Reds.

Sementara itu, mengulas mengenai pencapaian Liverpool memenangi gelaran Liga Premier Inggeris (EPL), McAteer berkata beliau berharap Liverpool akan mengumpulkan 97 mata untuk terus kekal di takhta liga selepas menghabiskan kesemua 38 perlawanan musim ini.

Selepas 34 perlawanan, Liverpool FC mendahulu Liga dengan dengan 85 mata. Manchester City merupakan pencabar terdekat dengan 83 mata bagi perebutan gelaran juara EPL.-Bernama

Sumber gambar:Bernama

Iklan