Sejak semalam, tular satu klip video mengenai seorang penghuni kondominium yang berang setelah ditegur oleh pengawal keselamatan kerana membawa anjingnya duduk di ruang sofa lobi utama.

Berdasarkan video tersebut, lelaki terbabit telah mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pengawal keselamatan itu walaupun perbuatan yang dilakukannya salah di sisi undang-undang.

Sehingga kini, video asal dimuat naik oleh akaun Facebook bernama Eiz Hafeiz pada pagi Selasa itu ditonton sebanyak 300,000 kali dan dikongsi hampir 8,000 pengguna.

“Lelaki ini membawa anjing ke kawasan lobi kondominium kami di Taman Sungai Besi yang memang dilarang bukan sahaja dalam house rules tetapi juga dalam undang-undang kerajaan tempatan.

“Bukan setakat tidak mematuhi undang-undang tetapi perbuatannya jelas tidak menjaga sensitiviti umat Islam dan juga orang lain yang mempunyai alahan atau fobia terhadap haiwan ini.

“Cara dia bercakap dengan pengawal yang cuba menghalang perbuatannya itu adalah sangat biadab dan kurang ajar.

“Perbuatannya bukan sahaja dikecam penduduk Islam di sini tetapi turut tidak boleh diterima oleh penduduk agama lain,” tulisnya memetik kapsyen dimuat naik bersama klip video berkenaan.

Sementara itu, Eiz yang juga pengerusi jawatankuasa penduduk di kejiranan tersebut berharap kejadian seperti dialaminya itu tidak berulang lagi pada masa akan datang.

“Sewajarnya, setiap penghuni yang duduk di kediaman strata perlu faham serta patuh peraturan ditetapkan oleh pihak berwajib demi kebaikan bersama,” katanya kepada ketika dihubungi. – MHE TV

Iklan