Dia Fadila akur dengan gangguan yang dialaminya.

NAIB juara Gegar Vaganza musim kelima (GV5), Dia Fadila, 34, menyifatkan pengalamannya sepanjang bersaing di pentas program adalah yang paling sukar pernah dilaluinya, namun bukan disebabkan kehebatan peserta-peserta lain.

Menurut Dia atau Nur Fardilla Nadia Abu Bakar, bahagian lengan dan pahanya pernah dicengkam sehingga meninggalkan kesan calar, sekali gus menjejaskan tumpuannya ketika mengadakan persembahan.

“Ada satu ketika sewaktu sedang beraksi di atas pentas, kedua-dua kaki saya seolah-olah dicengkam sehingga tidak mampu bergerak dan menerima komen negatif daripada juri kerana dikatakan kaku.

Walaupun diganggu, Dia bersyukur dengan pencapaian bergelar naib juara.

“Bagaimanapun saya akur dengan pemarkahan yang diberikan kerana sukar untuk saya gambarkan permasalahan yang dialami.

“Sebaik menyertai pertandingan ini, ada rakan-rakan artis yang pernah bersaing dalam musim terdahulu pernah menasihatkan saya supaya mengamalkan ayat pendinding untuk melindungi daripada perkara yang tidak diingini,” akuinya.

Bagaimanapun, sedar dirinya tidak begitu popular, Dia enggan mengambil serius akan hal tersebut, apatah lagi sukar untuknya mempercayai perkara sebegitu.

“Pada minggu saya dikehendaki menyanyikan lagu tradisional, itulah kali pertama saya diganggu dengan begitu teruk sehingga berdarah telinga dibuatnya,” tambah Dia.

Ikuti video temu bual khas bersama Dia untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kisah seram dan mistik yang dialami bintang kelahiran program Asia Bagus 1998 itu. – MHE TV

Iklan