Drama Band dianggotai oleh Aepul Roza, Daus SRK, Faeez Ikhwan, Syed Syahmir, Nik Adib dan Ammar Habir.

Tampil dengan lagu baharu berjudul Drama yang turut disertakan dengan sebuah video klip, karya sepenuhnya oleh anggota Drama Band itu menerima pelbagai reaksi daripada peminat dan juga artis.

Masakan tidak, video muzik yang diterbitkan mencuri perhatian ramai sementelah ada segelintir pihak mendakwa kugiran popular itu cuba menyindir beberapa artis tempatan yang dikaitkan dengan kontroversi panas.

Antara yang dikaitkan ialah masalah kemurungan Haqiem Rusli dan isu penarikan balik gelaran Dewi Remaja 2018 Haneesya Hanee.

Meskipun pada awal visual telah memberitahu mereka tidak mengaitkan sesiapa dalam penghasilan klip itu, namun warganet tetap mengatakan Drama Band sengaja mengambil kesempatan atas kesempitan artis lain.

Single Drama merupakan lagu terbaharu kumpulan ini.

Maka tak hairanlah sesetengah warganet bertindak mengecam penerbitan video muzik itu.

“Lembu buta pun tahu, inikan pula kita yang celik. Jelas kot MV ni sindir Haqiem dan Hanee!” komen salah seorang warganet.

Pun begitu, di sebalik komen negatif, ada juga pandangan positif yang dikongsikan untuk difikirkan atau ditafsir secara mendalam sebagai satu bentuk iktibar dan pengajaran.

“Mungkin niat mereka bukan untuk menyindir, tetapi sekadar berpesan kepada peminat agar tidak terlalu mengagung-agungkan golongan selebriti. Tajuk lagu pun Drama!” tulisnya.

Lagu bergenre pop rock itu merupakan gubahan bersama kesemua ahli kumpulan tersebut yang terdiri daripada Aepul Roza, Daus SRK, Faeez Ikhwan, Syed Syahmir, Nik Adib dan Ammar Habir. – MHE TV

Iklan