Setelah seharian bertarung dalam cabaran menguji kekuatan lengan, akhirnya Saedon Abu Bakar, 34, dinobatkan sebagai juara pertandingan Gusti Lengan Mr. Melaka yang diadakan di Fiesta MED: Usahawan Wira Ekonomi, di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC).

Saedon atau lebih popular dengan panggilan King yang merupakan seorang pemandu ambulans Klinik Kesihatan Masjid Tanah, memenangi pertandingan tersebut dalam kategori 85 kilogram terbuka lelaki.

Saedon (kanan) memenangi pertandingan gusti lengan kategori lelaki 85kg.

“Saya sudah aktif dalam sukan ini sejak 2011 dan memang selalu menyertai pertandingan gusti lengan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” katanya.

Manakala Nura Ain Osman, 29, menjuarai kategori terbuka wanita.

Nura Ain (kanan) menjuarai kategori terbuka wanita.

Wanita yang bekerja sebagai jurutera ini sudah mula aktif dalam sukan tersebut sejak empat tahun lalu dan aktif menyertai pertandingan di dalam dan luar negara.

Sementara itu, Fiesta MED yang membuka tirainya Jumaat lalu, menyediakan 300 buah reruai dan food truck yang turut menampilkan barisan artis dan selebriti popular seperti Rozita Che Wan, Lisdawati, Dato Sri Vida, Abon dan ramai lagi.

Malah pengunjung dihiburkan dengan persembahan artis-artis popular seperti Izzue Islam, Andi Bernadee, Fara Hazel dan ramai lagi.

Fiesta MED anjuran MHE dengan kerjasama MED turut disertai semua agensi di bawah MED antaranya TEKUN National, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Institut Koperasi Malaysia (IKN) Bank Rakyat, SME Bank, SME Corp, PROTEGE, MAGIC, Institut Latihan Keusawanan Negara (INSKEN) dan UDA Holdings. – MHE TV

Iklan