SEDANG menikmati saat-saat manis berumah tangga, pelakon Nadzmi Adwa berkata dia dan isterinya tidak meletakkan sebarang syarat untuk mereka meneruskan kerjaya dalam bidang lakonan.

Menurut Nadzmi, dia tidak mungkin akan menghalang Ardell Aryana dalam kerjayanya kerana tahu wanita itu mampu menjaga keperibadiannya sebaik mungkin.

“Saya tidak akan halang dia, apa sahaja yang dilakukan sebelum ini akan diteruskan. Tiada sebarang syarat untuk dia berlakon sebab saya yakin dia tahu peranan dia sebagai isteri.

“Sama seperti saya, Ardell juga tidak pernah meletakkan sebarang syarat. Namun, saya sendiri yang mengambil keputusan untuk tidak lagi melakukan sebarang adegan yang berpegangan dengan pelakon perempuan,”jelasnya.

Jelas Nadzmi, keputusan ini dibuat demi menjaga hati isterinya.

“Ardell tak minta apa-apa, tapi sebagai suami saya tidak mahu isteri saya mencurigai sesuatu apabila wujud babak-babak seperti itu.

“Banyak kaedah lain untuk menunjukkan penghayatan dalam lakonan. Ekspresi muka sahaja boleh menyampaikan sesuatu maksud, jadi tidak perlulah bersentuhan,”luahnya.

Iklan