Pelakon Sofi Jikan diperintah membela diri oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini atas tuduhan memasukkan dadah jenis 11-nor-delta-9-tetrahydrocannabinol-9-carboxylic acid (THC) pada Februari tahun lalu.

Keputusan tersebut dibuat Majistret Mohamad Ikhwan Mohd. Nasir selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie berdasarkan hujah dikemukakan oleh saksi-saksi pada akhir perbicaraan kes tersebut.

Pada 13 Februari tahun lalu, pelakon filem KL Gangster itu mengaku tidak bersalah di mahkamah sama atas tuduhan memasukkan dadah jenis THC yang mana perbuatan itu dilakukan di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya pada jam 11.15 malam, 6 Februari 2018.

Pertuduhan tersebut dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mahkamah turut menetapkan 28 Jun ini bagi bicara bela diri terhadap Sofi atau nama sebenarnya Mohamad Shoffi Jikan, 48, menerusi peguam bela Datuk Haniff Hassan. – MHE TV

Sumber foto: Utusan Online

Iklan