Kedua-dua mempelai ini bernikah pada 7 Disember 2018.

TERDAHULU penghujung tahun lalu kecoh ura-ura mengatakan aktor Pekin Ibrahim, 38, sudah sah bergelar suami kepada aktres Mona Allen, 28.

Bagaimanapun menurut Pekin, pematerian jiwa dua anak seni itu berlangsung secara kecil-kecilan iaitu upacara akad nikah yang diakhiri majlis doa selamat.

“Setelah berbincang dengan keluarga kedua-dua belah pihak, maka mereka mahu kami utamakan yang wajib dulu.

“Setakat ini belum merancang untuk menganjurkan sebarang majlis resepsi atau kenduri lain,” dedahnya ketika dihubungi.

Pekin atau Mohd. Iznan Ibrahim menikahi isterinya, empunya nama penuh Munna Hafiraneza Allen pada 7 Disember 2018 di kampung halaman mereka.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Pekin bakal mengarahkan sebuah filem hasil usahasama produksi dari Indonesia dan juga Malaysia.

“Insya-Allah, mengikut jadual, pada Mac ini kami akan masuk set bagi memulakan penggambaran,” ujarnya berhubung naskhah terbitan 10 Bucks Sdn. Bhd. di samping beberapa syarikat produksi lain.

Iklan