Pelakon remaja, Bryan Domani tidak dapat melupakan pengalaman lucu apabila dua gigi susunya tercabut ketika menyertai sebuah pertandingan makan keropok sebelum ini.

Semua gara-gara mahu menyandang gelaran juara, bekas anggota kumpulan Super7 ini sanggup makan dengan gelojoh walaupun keadaan giginya pada waktu itu tidak mengizinkan.

“Gigi susu aku goyang pada waktu itu tapi aku nak sangat menang dalam pertandingan itu. Nak tak nak, aku perlu habiskan keropok yang diberikan cepat-cepat supaya orang lain tak menang.

“Sewaktu sedang bersemangat mengunyah tiba-tiba gigi tercabut pula. Langsung tak peduli hinggalah cikgu mengumumkan aku pemenangnya,” cerita Bryan mengimbas kenangan zaman sekolah rendahnya.

Pelakon dan penyanyi ini mempunyai jutaan peminat gadis remaja di Indonesia

Pelakon filem Bumi Manusia ini juga tidak akan melupakan kenangan saat diangkat sebagai juara penunggang basikal paling lambat sewaktu zaman kanak-kanaknya.

Bryan memenangi pertandingan itu kerana kemampuannya untuk bertahan menunggang basikal tanpa menjejakkan kaki ke tanah dalam tempoh paling lama berbanding peserta lain.

“Tahun ini aku mahu cuba menyertai pertandingan memanjat pokok pinang pula. Inilah pertandingan yang aku idam-idamankan dan belum kesampaian lagi,” ujarnya lagi kepada media Indonesia.- MHE TV

Iklan