Penangkapan vokalis Exist, Mamat kerana kesalahan memiliki dadah membuatkan ramai menjangkakan konsert Exist Reunion yang bakal berlangsung pada 28 September ini akan dibatalkan.

Mamat ditahan polis selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan di luar kawasan rumah kedai di Taman Perling, Johor Bahru pada Ahad malam, ketika menunggang motosikal bersama seorang rakannya.

Insiden tersebut sekali gus membuatkan ramai yang beranggapan konsert Reunion Exists pada hujung bulan ini di Shah Alam dan 5 Oktober depan di Singapura tidak dapat diteruskan.

Bagi merungkai teka-teki ini, wakil penganjur konsert Shiraz Project tampil memberi kenyataan.

“Secara peribadi, berita ini amat menyedihkan dan mengejutkan kerana tiada siapa dalam team produksi mahu keadaan seperti ini terjadi, lebih-lebih lagi menjelang konsert Reunion
Exists.

“Ketika ini, pihak kami menerima banyak mesej dan panggilan bertanyakan status konsert yang
sudah dirancang itu.

“Paling banyak yang bertanya adalah peminat- peminat Exists Reunion yang sudah membeli tiket untuk menyaksikan konsert berkenaan.

“Kami memahami sentimen yang sedang bermain di fikiran peminat-peminat Exists Reunion. Sebagai menjawab tanda tanya itu, apa yang boleh saya katakan ialah, terlalu awal untuk kita semua membuat keputusan.

“Namun begitu, sehingga ke saat ini, konsert yang dirancang akan berjalan seperti biasa dan kami serahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan mengikut ketetapannya.

“Bahkan, saya sendiri akan bertemu dan mengadakan perbincangan dengan anggota Exists
yang lain bagi mendapatkan maklum balas dan pandangan terhadap kes yang melanda Mamat.

“Sememangnya kami di Exists Reunion mahukan segala yang dirancang dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin. Ini satu dugaan awal untuk kami dan berharap para peminat akan terus mendoakan yang terbaik untuk Exists Reunion,” katanya kepada MHE TV.

Pihak penganjur mengaku terkejut dengan penangkapan Mamat namun tidak mahu cepat melatah sebaliknya mahukan semua diselesaikan dengan cara baik.

“Ketika ini, apa yang dapat saya katakan ialah, pihak kami masih menunggu perkembangan mutakhir berhubung dengan kejadian itu.

“Kami amat menghargai kebimbangan, keprihatinan dan kerjasama semua pihak terutamanya penyokong-penyokong Exists Reunion dan rakan-rakan media,” jelasnya lagi.

Semalam, polis menahan penyanyi berusia 41 tahun itu bersama seorang rakan lelaki selepas menemukan sepaket dadah dipercayai jenis syabu.

Kedua-dua mereka ditahan pada pukul 11.30 malam kerana berada dalam keadaan mencurigakan semasa menunggang sebuah motosikal jenis Yamaha LC 135.

Mereka juga didapati positif dadah, hasil saringan awal ujian air kencing yang dijalankan.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama. – MHE TV

Iklan