Shaffiq (kanan) turut mengiringi persembahan Ara sewaktu penyanyi itu mendendangkan lagu Bunga pada AJL 33 yang lalu.

Guru vokal kepada Ara Johari sewaktu berlangsungnya Anugerah Juara Lagu ke-33 (AJL 33) pada minggu lalu iaitu Shaffiq Erwin, 28, mendedahkan punca sebenar yang menyebabkan nyanyian penyanyi lagu Bunga itu disifatkan ‘ke laut’ oleh kebanyakan warganet.

Mengakui vokal anak didiknya itu kedengaran teruk, Shaffiq memberitahu bahawa masalah yang dihadapi Ara atau Nurfarrah Izzatie Johari berpunca daripada beberapa sebab.

“Sejujurnya, saya akui memang terlibat secara langsung dalam persembahan Ara pada malam itu dan tidak menafikan bahawa nyanyiannya tidak begitu baik seperti yang dirancang.

“Saya bertanggungjawab untuk menjelaskan segala-galanya. Pitching vokalnya memang ke laut dan mendatar.

“Nyanyian live memang ada risikonya tersendiri. Bahkan macam-macam boleh terjadi tanpa kita sedari walaupun pada waktu raptai semuanya berjalan lancar dan sempurna.

“Namun pada hari kejadian, ada beberapa faktor yang menyebabkan Ara tidak boleh fokus dan berasa terganggu,” ujarnya yang mengendalikan kelas vokal di Sevoce Studio, Bandar Tasik Selatan, Cheras.

Selain bergelar guru vokal, Shaffiq juga pernah mengeluarkan single berjudul Jangan Kau Jauh.

Mendedahkan hal sebenar, Shaffiq mengatakan bahawa keadaan pentas yang berpusing adalah faktor utama yang mengganggu persembahan Ara termasuklah dirinya.

“Pada sesi raptai diadakan, kami tidak dapat membuat latihan sepenuhnya menggunakan set persembahan seperti yang dirancang.

“Hanya pada malam AJL 33 berlangsung, itulah kali pertama kami melakukan persembahan mengikut perancangan yang dipersetujui tanpa adanya latihan disebabkan beberapa masalah teknikal.

“Ketika sesi latihan, pentas tidak boleh berpusing. Disebabkan itu, wujud masalah timing, sekali gus menjejaskan persembahan kami,” cerita Shaffiq yang juga merupakan seorang penyanyi dan pernah tampil dengan single Jangan Kau Jauh.

Tambah Shaffiq, disebabkan Ara terlalu bimbang dan takut akan masalah yang dialami, fokusnya hilang lalu menyebabkan nyanyiannya juga bermasalah.

Justeru, mewakili keseluruhan pasukan Ara dan Bunga, dia meminta maaf atas segala kekurangan serta berusaha untuk memastikan mereka mempunyai pelan sokongan pada masa akan datang. – MHE TV

Ruang komen