Artis kelahiran Johor ini memang dikenali sebagai seorang yang suka meneroka bidang baharu dalam mewarnai kanvas seninya. Syura bukan sahaja bergelar penyanyi malah juara MasterChef Selebriti Malaysia Musim Ke-2 ini kini terjun pula ke bidang lawak.

Namun ibarat satu mimpi ngeri, bidang lawak tidak semudah yang disangkanya. Jika sebelum ini hanya menjadi jemputan dalam rancangan Sepahtu Reunion Live tetapi menerusi Muzikal Lawak Superstar (MLS), Syura perlu bertanding di atas satu pentas dengan barisan pelawak popular sedia ada.

Syura bergandingan dengan Amir dan Wan Gegau dalam kumpulan Wasap.

“Ternyata, MLS ni antara program yang paling membuat saya stres sepanjang karier saya dalam bidang seni,” antara pengakuan jujur Syura kepada MHE TV.

Pun begitu, walaupun program tersebut agak memberi tekanan kepadanya namun pelantun lagu Candak ini akui, banyak ilmu dan pengalaman baharu yang dikutip dalam program tersebut.

“Saya tak boleh tidur malam. Walaupun mata dah pejam tapi otak masih berjalan memikirkan idea-idea untuk direalisasikan dalam persembahan MLS setiap minggu,” ujarnya yang turut mendapat pujian juri dan penonton sepanjang dua minggu program berlangsung.

Syura yang bergandingan dengan pelawak Amir dan Wan Gegau dalam kumpulan Wasap masih bertahan dan bakal meneruskan perjalanan mereka ke minggu seterusnya.

Menurut Syura lagi, biarpun dianggap sebagai kumpulan underdog, kumpulan Wasap berusaha memberikan persembahan terbaik setiap minggu dan menerima komen para juri dengan hati terbuka.

“Kami masih mencari keserasian memandangkan baru mengenali satu sama lain. Tapi Alhamdulillah, tak susah untuk kami saling bertukar-tukar idea. Setakat ini, semua berjalan dengan baik.

“Walapun agak stres untuk buat yang terbaik, tapi saya sangat enjoy berada dalam pertandingan ini kerana semua peserta MLS bagaikan satu keluarga. Rakan-rakan peserta banyak beri sokongan dan kata-kata semangat, tak kedekut ilmu dan sedia membantu.

“Saya tak letak harapan tinggi dalam MLS memandangkan peserta lain pun bukan calang-calang dan memang bidang mereka lawak jenaka. Niat saya masuk pun untuk tambah pengalaman dan tunjukkan bakat lain yang ada dalam diri saya,” ujarnya. – MHE TV

Iklan