Melancong sambil menambah ilmu pengetahuan. Itu yang cuba diterapkan oleh agensi Kembara Sufi Travel & Tours setiap kali membawa kumpulan pelancong. Perkongsian ilmu tersebut disampaikan oleh mereka yang arif tentang ilmu agama.

Bagi Pengarah Operasi syarikat ini, Muhammad Al Fadzil Hidzir, ilmu yang diberikan bukan hanya sesuai untuk pelancong beragama Islam sahaja, ia lebih kepada manfaat dalam kehidupan yang boleh dipraktikkan oleh semua orang.

“Selain memperkenalkan tentang sejarah atau fakta menarik tentang sesuatu tempat, kami juga akan menyampaikan sedikit tazkirah atau perkongsian ilmu kepada ahli rombongan ketika dalam perjalanan.

“Biasanya kami ceritakan kisah-kisah yang mudah difahami serta amalan hidup harian. Sebagai contoh, kami kongsikan cara memilih makanan halal jika melancong ke negara yang majoriti bukan Islam.

“Jadi apa yang kami kongsikan sesuai untuk semua pelancong tanpa mengira agama. Dalam masa sama, ini juga adalah satu program dakwah untuk mengajak orang ramai melakukan kebaikan,” kongsi Fadzil.

Bercerita tentang keistimewaan lain yang ditawarkan, kata Fadzil pastinya mereka mengutamakan pakej yang patuh syariah.

Sebelum menetapkan jadual perjalanan, syarikat ini akan mengkaji dahulu masa yang sesuai agar waktu solat pelancong Islam sentiasa terjaga.

“Kami akan pergi melihat kawasan terlebih dahulu sebelum membuka laluan baharu buat pelancong. Kami melihat waktu solat di sana dan menetapkan jadual perjalanan.

“Dengan cara sebegini, ahli rombongan akan rasa lebih selesa tanpa memikirkan waktu dan tempat solat yang sesuai,” ujar Fadzil.

Kembara Sufi Travel & Tours juga turut membuka ruang kepada lebih ramai agen yang mahu terlibat sama sebagai pemandu pelancong.

Selain dapat melawat negara orang, mereka juga akan diberi imbuhan khas membawa rombongan pelancong.- MHETV

Ruang komen