Penderitaan pekak telinga sebelah kiri akibat ditampar anggota polis terbayar setelah mahkamah mengarahkan Kerajaan Malaysia selaku defendan membayar ganti rugi RM120,400 kepada Mohd Faizu Ramli, 32.

Perintah itu dikeluarkan Hakim Mohd Rosly Muhammad Nawi di Mahkamah Sesyen 3, Kota Bharu, lapor Bernama.

Jumlah tersebut merangkumi tuntutan ganti rugi am atas kecederaan di bahagian telinga kiri yang dialami akibat ditampar defendan pertama Lans Koperal Mohd Erman Ahmad, ganti rugi teladan RM120,000, ganti rugi khas RM400 dan faedah atas jumlah penghakiman sebanyak lapan peratus setahun.

Dalam kejadian 17 April 2015, Mohd Faizu telah ditampar Lans Koperal Mohd Erman Ahmad selepas dituduh cuba mengganggu tugas anggota polis ketika mahu bertanya tujuan serbuan polis ke atas rumah bapanya.

Tamparan kuat itu menyebabkan telinga kiri Mohd Faizu cedera dan berdarah sehingga mengalami masalah pendengaran.

Akibat kejadian itu, pada 14 Mei 2018, Mohd Haizu menyaman Mohd Erman sebagai defendan pertama, Ketua Polis Daerah Tumpat sebagai defendan kedua dan Kerajaan Malaysia defendan ketiga di Mahkamah Sesyen Kota Bharu.- MHE TV

Sumber gambar: Bernama

Ruang komen
Iklan