Desas-desus mengenai pergolakan rumah tangga Song Joong Ki dan Song Hye Kyo yang menjadi bualan hangat sejak awal tahun ini akhirnya terjawab apabila pasangan selebriti Korea paling ideal ini mengesahkan telah memfailkan perceraian.

Hari ini, Song Joong Ki, 33, dan isterinya mengumumkan menerusi peguam, Park Jae Hyun, mereka mengambil keputusan memfailkan tuntutan tersebut di Mahkamah Keluarga di Seoul pada 26 Jun (semalam).

“Ini Song Joong Ki. Saya minta maaf dan terpanggil untuk memberitahu berita buruk ini buat mereka yang meminati saya.

“Saya mengambil keputusan untuk melalui proses penceraian dengan Song Hye Kyo. Kami berharap keputusan ini adalah penyelesaian terbaik berbanding mengecam antara satu sama lain.

“Ini saja yang dapat saya kongsikan tentang hal peribadi. Terima kasih semua,” kata pelakon drama Arthdal Chronicles itu menerusi satu kenyataan ringkas yang dikeluarkan agensi Blossom Entertainment kepada pihak media.

Sepanjang dua tahun ini, pasangan yang cukup dikenali dengan jolokan #SongSongCouple ini sering menjadi contoh dan mendapat pujian dalam kalangan pengikut dunia hiburan Korea.

Rumah tangga #SongSongCouple hanya mampu bertahan selama dua tahun.

Kisah percintaan mereka menjadi bualan kerana berjaya menyembunyikan rahsia sepanjang menjalin asmara ketika menjalani penggambaran drama fenomena Decendents of The Son (2016).

Dan akhirnya Joong Ki melamar Song Hye Kyo dan mereka berkahwin pada 31 Oktober 2017.

Bagaimanapun sejak Januari lalu, khabar keretakan perkahwinan mereka berjaya dihidu media di tanah besar China berdasarkan bukti beberapa keping foto yang memperlihatkan Song Joong Ki jarang memakai cincin perkahwinan.

Jodoh tak panjang. Song Joong Ki dan Song Hye Kyo sepakat memfailkan perceraian pada 26 Jun lalu.

Namun, gosip itu dinafikan oleh kedua pasangan ini bahkan mereka dilihat masih lagi mempamerkan kemesraan di depan khalayak.

Malah semalam, Song Hye Kyo ada mengemaskini status dalam Instagram seolah-olah tiada apa-apa masalah yang berlaku diantara mereka. – MHE TV

Iklan