Bayangkan… bilik di hotel yang anda menginap dipenuhi gambar sosej di dinding dan ada sosej tergantung pada syiling.

Dekat atas katil pun, ada bantal berbentuk sosej! Agak-agaknya boleh tidur lena tak? Atau macam `orang putih’ kata, nightmare.

Itu suasana yang ditawarkan di sebuah hotel di Rittersbach, Jerman. Bilik-bilik tersebut dipenuhi kertas dinding gambar sosej, bantal sosej dan perhiasan bentuk sosej tergantung pada syilling.

Pisau memotong daging antara perhiasan yang menghiasi ruang di tangga hotel. Malah sabun di bilik air juga kelihatan seperti sosej.

Di tingkat bawah terdapat restoran diberi nama Wurstaurant, yang menyajikan pelbagai hidangan berkaitan sosej termasuk ais krim sosej.

“Ini adalah syurga bratwurst mutlak dan saya suka itu,” kata Claus Boebel, penjual daging yang membuka hotel tersebut.

“Saya mahu mendapatkan sedikit perasaan bercuti di rumah saya dan … membuat bratwurst menarik untuk seluruh dunia.” katanya.

Hotel itu diberi nama BB & BB iaitu singkatan nama Boebel Bratwurst Bed and Breakfast.

Terdapat tujuh buah bilik dan pakej penginapan termasuk sarapan pagi dengan hidangan sosej. – MHE TV

Iklan