Syawal tahun ini melakar kenangan manis buat pelakon dan usahawan Yatt Hamzah apabila disahkan hamil anak keempat dengan usia kandungan kini mencecah tiga bulan.

Coretan indah itu dikongsikan Yatt menerusi Instagram miliknya selepas membuat pemeriksaan doktor pada minggu terakhir Ramadan yang lalu.

Menurut pengasas jenama Suci by Yatt Hamzah ini, berita gembira tersebut diumumkan sempena mengambil keberkatan Syawal.

“Sempena mengambil keberkatan Syawal, Bonda ingin kongsikan berita baik ini dengan semua sahabat dan pengikut. Bonda kini hamil anak ke-4.

“Alhamdulillah minggu terakhir puasa baru sempat ke klinik untuk sahkan. Alhamdulillah rezeki Ramadan. Kandungan kini berusia 12 minggu lebih,” kongsi Yatt tentang kehamilannya.

Yatt dan suami, Zulfadhli kini bahagia di samping tiga orang puteri.

Yatt atau nama lengkapnya Haryati Hamzah, 39, turut memohon doa orang ramai semoga dia dapat melalui tempoh kehamilan tersebut dalam keadaan sihat dan selamat.

“Mohon doa semua agar Bonda yang lasak dan aktif menjaga tiga anak-anak kecil ini kuat dan sihat selalu dan bayi dalam kandungan selamat dan kuat ya.

“Ok sekarang Bonda gementar nak tambah satu lagi ni. Moga Allah permudahkan,” pintanya yang bersyukur diberi rezeki untuk melalui pengalaman hamil sekali lagi.

Yatt berkahwin dengan juruvideo, Mohammad Zulfadhli Khairuddin pada 27 Februari 2016 dan dikurniakan dua puteri, Suci Humaira Iqlima, 3, dan Suci Hayfaa Medina, setahun.

Terdahulu menerusi perkahwinan pertamanya dengan Abdul Mutalib Abdul Shukor, Yatt memiliki seorang anak perempuan, Suci Hanania Malika yang kini berusia 9 tahun. – MHE TV

Iklan