Wajah Syed sebelum ini pernah menghiasi drama-drama popular tempatan.

Agak lama kelibat pelakon Syed Ali, 34, tidak muncul di kaca televisyen, namun baru-baru ini bintang utama siri popular Renjis itu kembali mencuri perhatian warga seni dan peminat.

Minggu lalu, Syed menerusi laman Instagram miliknya telah memuat naik video pendek ketika menziarahi bayi berusia lapan bulan, Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin yang menderita penyakit kanser mulut atau Germ Cell Tumor.

Bayi berusia lapan bulan ini dijangka menjalani rawatan di UK.

Ternyata, perkongsian Syed atau Syed Ali Tar Mohd. itu menyentuh hati banyak pihak termasuk rakan artis, penggiat seni dan para peminat yang mengikuti akaun media sosial anak kelahiran Kuala Kangsar, Perak berkenaan.

“Sama-sama doakan bayi syurga ini. Dia sayangkan kita kerana mendoakan untuknya,” memetik kapsyen yang ditulis aktor tersebut.

Terdahulu, menerusi satu entri bergambar, Syed menyeru kepada semua pengikutnya agar tidak putus memanjatkan doa kepada Ilahi demi kesembuhan Ainul.

“Acik, akak, abang… doakan kesihatan Ainul ya,” serunya kepada semua pihak.

Syed menambah, dia sempat bermalam di sisi bayi comel terbabit yang telah disahkan menghidap penyakit kronik itu seawal dalam kandungan lagi.

Syed sempat bermalam di sisi Ainul yang disifatkannya Bayi Syurga.

Ujar bapa bayi berkenaan, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 24, anaknya pernah menjalani pembedahan bagi membuang ketumbuhan tersebut di Hospital Kuala Lumpur.

Namun Oktober lalu, dia dan isterinya, Nurul Erwani Zaidi, 24, dimaklumkan terdapat ketumbuhan baharu di leher bayi itu sebelum disarankan menjalani kemoterapi pada Disember tahun lepas.

Kedua-dua ibu bapa Ainul tabah hadapi ujian yang melanda keluarga mereka.

Terkini, Safiuddin memaklumkan terdapat seorang kenalannya cuba memanjangkan laporan perubatan Ainul kepada pakar perubatan hospital di United Kingdom untuk dibuat kajian dalam usaha menjalani rawatan susulan. – MHE TV

Iklan