Awal minggu lalu, masyarakat dikejutkan dengan berita perceraian Radhi OAG dan bekas isteri, Nur Shahira Ayu Zahiri atau Ayu.

Bagaimanapun Radhi, 41, ketika ditemubual pihak media tempoh hari, tidak putus-putus menyatakan dia berharap dapat rujuk semula.

Terbaharu, penyanyi ini memuat naik foto versi hitam putih menunjukkan Ayu bersama dua anaknya.

Gambar tersebut turut disertakan kapsyen ringkas #wallahualam.

Catatan itu menguatkan lagi tanda harapannya untuk kembali bergelar suami wanita itu begitu tinggi namun dia bertawakal dan menyerahkan kepada takdir.

Entri itu mencuri perhatian pengguna media sosial yang rata-ratanya mendoakan Radhi terus tabah dan kuat semangat.

Radhi dan Ayu, 25, mendirikan rumah tangga pada 14 April 2014 dan dikurniakan dua orang anak iaitu Nuraishah,4, dan Muhammad, 3.

Sebelum ini, Radhi pernah berkahwin dengan Shazlin Sharif pada 1 Januari 2005 dan bercerai pada 8 Jun 2010.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak lelaki bernama Muhammad Rifdhi Muslim, 14. – MHE TV

Iklan