Mufti Wilayah, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri meraikan jiran-jirannya yang berbangsa Cina sempena menyambut sambutan tahun baharu dengan memberikan buah tangan berupa kek.

“Hari ini saya meraikan jiran-jiran saya yang berbangsa Cina dengan kek sempena Tahun Baharu Cina. 

“Mungkin ini hanya hadiah tahunan yang kecil, namun saya amat berharap ianya mampu menyumbang sesuatu kepada keharmonian rakyat Malaysia berbilang bangsa.

“Marilah kita kembali kepada asas yang hakiki bahawa kita sebenarnya satu keluarga besar yang bernendakan Adam dan Hawa. 

“Zahirkan keindahan Islam, sebarkan semangat perpaduan,” tulisnya di Facebook.

Dr.Zulkifli memberikan kek kepada jiran-jirannya yang berbangsa Cina sempena Tahun Baharu Cina.

Tambahnya, Islam meraikan kepelbagaian agama dan keberagaman bangsa dengan memberi contoh akhlak dan kehidupan Rasulullah SAW sebagai panduan terbaik hidup dalam masyarakat berbilang kaum.

“Hidup beragama ini sebenarnya indah dan mudah jika kita memahami kehendak agama, juga batasannya. 

“Islam meraikan kepelbagaian agama dan keberagaman bangsa. Betapa sejarah kehidupan Rasulullah SAW sendiri membuktikan bahawa tembok bangsa dan agama boleh diketepikan dengan akhlak dan kesantunan,” katanya. – MHE TV

Iklan