Usahawan kosmetik terkenal, Muhammad Sajjad Kamaruzzaman atau dikenali sebagai Nur Sajat didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru atas kesalahan memiliki 19 jenis produk kecantikan yang tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), semalam.

Bagaimanapun, Sajjad, 34, berbaju kebaya merah mengaku tidak bersalah atas kesalahan yang dilakukan di sebuah premis perniagaannya beralamat di Bandar Baru Uda, Johor Bahru.

Pertuduhan tersebut dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Norasidah Abd. Rahman.

Pada 15 Ogos 2018, sepasukan anggota dan pegawai unit farmasi KKM melakukan pemeriksaan premis berkenaan sebelum merampas 19 jenis produk kecantikan bernilai hampir RM10,000.

Ketika pemeriksaan dibuat, Sajjad selaku pemilik tiada di premis berkenaan.

Tindakan diambil mengikut Peraturan 7(1)(a) Peraturan-peraturan kawalan dadah dan kosmetik 1984 dan merupakan satu kesalahan mengikut Peraturan 30(1) Peratutan-peraturan kawalan dadah dan kosmetik 1984.

Usahawan itu didakwa di bawah Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952, sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM25,000 atau penjara sehingga 3 tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan pertama.

Pegawai pendakwa Bahagian Perkhidmatan Farmasi Johor memohon mahkamah menetapkan RM8,000 sebagai wang jaminan dan seorang penjamin berikutan kesalahan dilakukan tertuduh yang serius.

Bagaimanapun, peguam bela Sajjad memohon wang jaminan sebanyak RM1,500 dengan alasan anak guamnya tidak pernah ingkar arahan mahkamah.

Kemudian, Norasidah menetapkan RM7,000 sebagai jumlah wang jaminan dan seorang penjamin serta 23 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pun begitu, Sajjad cuma berjaya menjelaskan wang jaminan tersebut kira-kira pada jam 12 tengah hari selepas menunggu rakannya mengeluarkan wang.

Ketika ingin menjelaskan bayaran, Sajjad dilihat cuba mengelak wartawan dan jurugambar dengan menggunakan laluan lain untuk ke kaunter.

Sumber: Utusan Online

Iklan