Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yasin menyelar perbuatan pihak tidak bertanggungjawab yang meletakkan patung berhala di Surau Sabilul Huda, Taman Pendamar Indah, Klang.

Katanya, kejadian tersebut jelas berniat jahat untuk menghina agama Islam dan menjejaskan keharmonian kaum dan agama di negara ini.

Susulan kes berkenaan, beliau telah mengarahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun untuk menyiasat kes ini secara terperinci.

“Kejadian penghinaan terhadap agama Islam sejak kebelakangan ini amat berbahaya dan telah menimbulkan kemarahan dalam kalangan umat Islam.

Patung berhala yang diletakkan di Surau Sabilul Huda, Taman Pendamar Indah, Klang

“Ini termasuk mesej-mesej penghinaan terhadap agama Islam yang disebarkan dalam media sosial,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, Kementerian Dalam Negeri tidak akan berkompromi dengan sebarang perbuatan penghinaan terhadap agama yang boleh menjejaskan keharmonian rakyat.

“Tindakan tegas berasaskan undang-undang hendaklah diambil ke atas pihak yang melakukan perbuatan terkutuk yang berbaur hasutan dan amat provokatif ini,” katanya. – MHE TV

Iklan