Bukan lagi rahsia, Nabila Razali mendedahkan hatinya sekarang sudah terpaut pada cinta baharu.

Jangan salah faham, kerana ‘cinta yang dimaksudkan penyanyi yang popular dengan lagu Vroom Vroom ini ialah minatnya terhadap sukan lumba kereta.

Semuanya bermula selepas dia berpeluang menyertai perlumbaan Toyota Gazoo Racing, pada April lalu.

“Semasa menyertai perlumbaan itu, mulanya saya menangis sebab takut. Tapi entah macam mana sekarang ni sudah jadi suka pula.

“Tapi saya baru hendak berjinak-jinak dan belum lagi terfikir untuk ke arah sebagai pelumba profesional,” kongsinya.

Tambah Nabila atau nama sebenarnya Nur Nur Nabila Mohd Razali, 26, dia menjadikan aktiviti itu sebagai hobi di kala masa lapang.

“Kiranya ia hobi baru saya dan kalau ada masa lapang, saya akan bermain go-kart,” tambahnya lagi.

Dalam pada itu, Nabila meluahkan rasa syukur kerana perniagaan tudung jenamanya, Nabaela Scarf semakin mendapat sambutan mengalakkan.

Jika kebanyakan artis menjadikan perniagaan sebagai satu lagi peluang menjana pendapatan, bagaimanapun Nabila berkata idea untuk menjalankan bisnes tercetus secara tiba-tiba apabila ramai peminat bertanya dan suka dengan tudung-tudung yang digayakannya.

“Sejak kebelakangan ini ramai yang bertanya dan mereka suka dengan tudung-tudung yang saya pakai.

“Jadi timbul idea, elok juga kalau buat bisnes tudung. Lagipun apabila mereka bertanya, boleh juga saya jawab yang ia adalah jenama sendiri,” tuturnya.

Mengenai perkembangan seni, Nabila memberitahu dia sedang mencari material untuk single baharu.

Selain itu, dia juga bakal sibuk di lokasi penggambaran sekuel telemovie Pengantin Lari Culik Artis, tidak lama lagi. -MHE TV

Iklan