Penyanyi malar segar, Datuk Nassier Wahab lega apabila mendapat tahun dirinya kini bebas daripada kanser gusi selepas menjalani pembedahan di sebuah pusat perubatan 1 Jun lalu.

Menurut penyanyi lagu Memori Cinta Luka ini, dia bersyukur apabila impiannya untuk sembuh seperti sedia kala daripada penyakit yang dikesan ketika menjalani rawatan gigi empat tahun lalu berakhir.

Kini dalam tempoh berehat, Nassier juga mengambil pendekatan lebih berjaga-jaga dengan mengawal pemakanan serta menjalani gaya hidup sihat agar kesihatannya tidak terjejas lagi selepas ini.

“Alhamdulillah, kebimbangan saya sudah berakhir. Saya kini sudah boleh menjalani kehidupan seperti biasa. Boleh makan, bersenam, berjumpa dengan kawan-kawan, beribadah dan bekerja macam dulu.

“Sel kanser ini jahat, ia boleh datang semula lebih-lebih lagi kalau kita berada dalam keadaan tertekan. Untuk mengelakkan perkara itu berulang lagi pada masa depan, saya ikut setiap saranan doktor,” kata Nassier kepada Utusan Online.

Sebelum ini, tahap kesihatan penyanyi lagu Sekali Aku Jatuh Cinta ini dikatakan merosot dek jangkitan kuman selepas mencabut gigi geraham sebelah kiri rahangnya dua tahun lepas.

Bergantung kepada ubat antibiotik dan suntikan menahan kesakitan, Nassier juga merujuk penyakitnya itu ke beberapa pusat perubatan terkenal tanah air dan Singapura.

Dalam pada itu, Presiden Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air (YKAT), Datuk DJ Dave turut menziarahi dan memberi sumbangan kepada penyanyi tersebut di kediamannya di Bandar Bukit Raja, Klang, Selangor pagi tadi.

Menurut DJ Dave, pihak menerima maklumat tentang keadaan kesihatan Nassier daripada rakan artis, Datuk Nash manakala sumbangan tersebut sebagai tanda kprihatinan YKAT kepada insan seni berkenaan . – MHE TV

Iklan