Kisah ini berlaku beberapa tahun lalu ketika saya tinggal di asrama sebuah universiti di selatan tanah air. Malam itu, genap seminggu saya mendaftarkan diri di universiti tersebut.

Asrama penginapan kami ini mempunyai tiga buah blok dan setiap bilik menempatkan dua orang pelajar.

Saya pula sebilik dengan Hamdan yang berasal dari Perak. Bilik kami terletak di aras tiga dan berada hujung sekali iaitu berdekatan dengan tandas.

Saya ingat lagi, pada malam itu boleh dikatakan semua pelajar tidur agak awal daripada kebiasaan. Sekitar jam 10 malam, suasana asrama sudah sunyi sepi.

Tak nampak sangat pelajar-pelajar berkeliaran sekitar koridor atau suara gelak tawa dari dalam bilik.

Saya tahu mereka juga seperti saya yang kepenatan. Sebelum ini, selama enam hari kami memang tak cukup rehat dan tidur kerana terlibat dalam orientasi sebagai pelajar baharu.

Malam itu lebih kurang pukul 11.00 malam, saya sudah lena dibuai mimpi. Sedang tidur, saya tersentak dan bingkas bangun apabila tiba-tiba sahaja terdengar suara seseorang menjerit.

Apabila membuka mata, kelihatan Hamdan sedang berdiri depan tingkap cermin yang sudah terbuka luas. Dia memandang ke luar yang masih gelap gelita.

“Hamdan…kenapa ni?” tanya saya lalu bingkas bangun dari katil. Sambil itu, mata saya memandang jam. Sudah pukul tiga pagi.

Pertanyaan saya tidak dijawab. Hamdam diam membisu. Saya bangun lalu dekati Hamdan yang masih berdiri memandang ke tingkap.

Sebaik mendekatinya, baru saya perasan Hamdan sedang menggigil. Mukanya pucat ibarat tiada darah yang mengalir. Hamdan seperti berada dalam keadaan ketakutan.

Saya cuba tenangkannya sambil mengajak dia duduk di atas katil.

“Mari duduk dulu,” kata saya.

Apabila melihat Hamdan semakin pulih, barulah saya minta dia ceritakan apa yang telah berlaku.

Cerita Hamdan, dia sebenarnya bangun untuk ke tandas kerana mahu membuang air kecil sebelum secara tiba-tiba dia ternampak satu kelibat di tingkap yang memang kami sengaja biarkan sedikit terbuka.

“Aku takut, jadi aku pergi ke tingkap nak tutup balik. Masalahnya, tulah aku…,” kata Hamdan tetapi tidak dapat menghabiskan ceritanya.

Hamdan kelihatan gelisah dan tidak tenang. Sekejap dia duduk, sekejap dia berdiri.  Agak lama begitu barulah dia sambung cerita.

“Aku nampak hantu. Tiba-tiba muncul hantu rambut panjang. Nampak mata dia sebiji saja. Mata dia merah menyala pandang tepat dekat aku,” cerita Hamdan.

Sambung Hamdan lagi, jelas dia dapat melihat tubuh lembaga itu terapung di udara dengan kain putih yang sudah kotor. Lembaga itu hanya menghilangkan diri selepas Hamdan menjerit beberapa kali.

Selepas mendengar cerita itu, saya cuba tenangkannya lagi. Kata saya, apa yang berlaku itu mungkin perasaannya saja akibat terlampau penat dan tidak rehat.

“Halusinasi engkau je tu,” kata saya.

Saya pula tidak takut atau terasa seram dengan kejadian menimpa Hamdan itu. Sebabnya, saya kurang percaya dengan hantu. Selama hidup, belum pernah saya nampak makhluk sebegini. Kalau dengar cerita orang itu adalah.

Keesokan malamnya, lebih kurang pukul 2.00 pagi, saya ke bilik air kerana tiba-tiba sahaja perut terasa memulas.

Dari bilik untuk ke tandas, kami akan melintasi sebuah bilik membasuh pakaian yang terletak bersebelahan bilik air.

Sedang menapak, saya terdengar bunyi seperti orang sedang membasuh baju. Bunyi baju disental dengan berus dan air jatuh ke lantai jelas kedengaran.

Saya tidak mempedulikannya sebaliknya terus ke tandas melepaskan hajat. Selesai melunaskan ‘hajat’ saya ke sinki membersihkan tangan.

Sedang membasuh tangan, saya perasan satu kelibat melintas di belakang saya. Saya dapat melihat dengan jelas melalui cermin di depan saya.

Cepat-cepat saya toleh ke belakang.

“Tak ada siapa pula,” getus hati saya apabila langsung tak nampak sesiapa masuk ke dalam tandas.

Serentak itu, entah mengapa jantung mula berdenyut kencang. Saya mula terasa seram sejuk selain bulu roma mula terpacak secara tiba-tiba.

Tiba-tiba sahaja saya terasa begitu takut dan seram. Cepat-cepat saya keluar dari tandas untuk balik ke bilik. Semasa melalui depan bilik membasuh, bunyi orang membasuh pakaian belum berhenti. Kali ini bunyinya semakin rancak.

Sesekali terdengar suara seperti orang sedang menyanyi pun ada. Tapi ia tidak berapa jelas.

Melalui pintu yang sedikit terbuka, saya mengintai ke dalam. Hendak juga saya tahu siapa yang basuh baju pada lewat pagi begitu. Puas mengintai tidak nampak pula kelibat orang di dalamnya.

“Siapa kat dalam tu,” soal saya.

Sebaik bertanya begitu, bunyi orang membasuh baju senyap. Dek perasaan ingin tahu, saya tolak pintu yang tidak berkunci itu perlahan-lahan.

Alangkah terkejutnya saya, sebaik pintu terbuka kelihatan seorang mak cik tua sedang berdiri. Di tangannya menggenggam kain putih kekuningan.

Lebih menggerunkan, rambut mak cik tua itu mengurai panjang hingga ke lantai. Apabila dia memalingkan sedikit mukanya, kelihatan sebelah mukanya berulat.

Tiada apa lagi yang saya fikirkan kecuali…Hantu!!!!!

Apa lagi yang terjadi selepas itu saya tidak tahu. Apabila tersedar sahaja, saya sudah berada di atas katil sambil dikerumuni rakan-rakan. Rupa-rupanya, saya pengsan.

Cerita kawan-kawan, mereka menemui saya terbaring depan pintu bilik membasuh sekitar pukul 6.00 pagi.

Pagi itu, saya ceritakan apa yang berlaku dan mengapa saya pengsan. Selepas cerita saya itu, barulah cerita-cerita lain mula terbongkar satu persatu.

Rupanya, bukan saya sahaja, pelajar lain sebenarnya turut pernah disakat perempuan tua tersebut.

Pernah setahun lalu seorang pelajar turut disakat makhluk menyerupai makcik tua tersebut.  Ketika kejadian, pelajar itu sedang mengulang kaji pelajaran di bilik bacaan asrama.

Sedang menelaah, dia perasan seorang wanita tua tiba-tiba sahaja muncul di depannya sebelum berjalan lalu menembusi dinding lalu ghaib.

Melihat keadaan itu, pelajar tersebut cabut lari sambil menjerit-jerit. Akibat kejadian tersebut juga, pelajar itu dikatakan demam beberapa hari.

Saya pula selepas kejadian itu, mula berhati-hati. Saya mula percaya, makhluk ini memang wujud dan sentiasa berada di sekeliling kita. Hanya kita sahaja yang tidak nampak kehadirannya. – MHE TV

Nota: Pencerita di atas hanya mahu dikenali sebagai Shahir.

 

Iklan