Bekas personaliti televisyen Norjuma Habib Mohamed berdepan dengan satu saman fitnah daripada Fame Up Entertainment.

Ini berhubung dengan penyebaran sebuah video fitnah yang beredar pada sekitar Mac tahun lalu.

Dalam video fitnah tersebut plaintif, Pengarah Urusan Fame Up Entertainment, Zuriawati Zaidi, 39, didakwa memiliki sebuah video skandal seks membabitkan seorang ahli perniagaan dan seorang kenamaan.

“Saya difitnah oleh defendan (Norjuma dan seorang individu) memiliki sebuah video seks dua orang kenamaan.

“Disebabkan fitnah tersebut reputasi dan nama baik syarikat saya terjejas,” kata Zuriawati dalam sidang akhbar di Kuala Lumpur, sebentar tadi.

Sehubungan itu, plaintif yang diwakili peguam Azlan Abdul Razak daripada Azlan Shah & Partners, telah pun memfailkan writ saman pada Selasa lalu di Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur terhadap Norjuma.

Turut disaman adalah seorang lagi individu lain yang tidak disebutkan nama, dikatakan sama terlibat di dalam kes fitnah tersebut.

Sementara itu usaha pihak media untuk mendapatkan Norjuma gagal apabila panggilan tidak disambungkan. – MHE TV

Ruang komen