Pelakon veteran Norlia Ghani, 70, mendedahkan dia pernah terkena perbuatan sihir oleh seorang sahabat sehingga menyebabkan dia hilang mata pencarian.

Hampir dua tahun menanggung derita, Norlia juga memberitahu pelbagai perkara aneh terjadi padanya sebelum ini.

“Saya dapat rasakan seperti ada orang mengkhianati saya dengan mengamalkan ilmu hitam. Bayangkan, orang tak jumpa rumah saya. Setiap kali orang buat panggilan untuk bagi tawaran lakonan, terus saya jatuh sakit.

“Misalnya kaki saya tidak boleh berjalan kerana bengkak secara mengejut. Bukan itu sahaja, suara saya juga hilang setiap kali mahu masuk studio untuk merakamkan voice over.

“Berulang kali insiden ini berlaku. Jadi terpaksalah saya tolak tawaran tersebut. Saya tidak boleh biarkan mereka menunggu jawapan saya kerana tidak mahu menyusahkan krew dan artis-artis lain yang terlibat,” luah Norlia Ghani.

Meski firasatnya tahu siapa orang yang berbuat khianat itu, namun dia tidak mahu menuduh secara melulu. Norlia turut menzahirkan rasa syukur dirinya kini semakin sihat dan boleh kembali bekerja.

“Sejujurnya saya boleh agak siapa yang buat dan dia orang dalam industri juga. Namun, saya tidak mahu menuduh kerana tiada bukti.

“Saya simpan dalam hati saja. Apa yang saya boleh katakan, semua orang dalam industri saya anggap seperti kawan-kawan. Kalau saya dianggapnya sebagai musuh, terpulanglah.

“Saya maafkan dia. Perkara dah lepas. Nak marah-marah pun tak guna. Lebih baik dia bertaubat agar tidak melakukan perbuatan syirik itu lagi.

“Alhamdulillah, Allah makbulkan doa saya untuk terus kuat semangat dan bersabar dengan dugaan ini. Saya bersyukur diberikan kekuatan mental dan kesihatan yang baik.” katanya. – MHE TV

Iklan