Siapa yang tidak kenal dengan pelakon wanita senior, Fauziah Ahmad Daud atau lebih dikenali sebagai Ogy?

Kelantangannya dalam mengkritik apa jua perkara atau isu yang berlaku dalam dunia hiburan, pasti mendapat perhatian ramai.

Terbaharu, pelakon drama Rahsia Hati Perempuan ini mengkritik satu program kanak-kanak yang katanya tidak sesuai dengan usia mereka.

Menerusi saluran YouTube miliknya, Ogy mempertikaikan tindakan mendandan atau ‘grooming’ peserta kanak-kanak yang berusia tujuh hingga 12 tahun tampak seperti ‘dewasa’ dalam sebuah program realiti kanak-kanak.

Menurut Ogy lagi, tidak salah ada usaha untuk menggilap bakat mereka namun biarlah kena dengan caranya.

Ogy berpendapat peserta kanak-kanak seharusnya diberikan peluang untuk menyanyikan lagu patriotik

“Budak lapan atau sembilan tahun pergi ke pentas. Pakai gaun, tiara dengan lipstik bagai nak rak, bulu mata palsu lagi.

“Berat mata budak tu. Tiba-tiba nyanyi lagu Perawan Atau Janda. Gila ke apa?

“Mereka berbakat, jadi apa salahnya bagilagu-lagu patriotik. Biar bertepatan dengan usia mereka,” kata Ogy.

Jelasnya, ada di antara peserta kanak-kanak ini diberikan lagu-lagu cinta bernada tinggi yang mungkin akan menyebabkan masalah kesihatan pada kemudian hari.

“Mungkin perkara sebegini akan menyebabkan peserta cilik ni berasa malu apabila mereka dewasa nanti.

“Biarlah kanak-kanak menjadi mereka sendiri dan bukannya orang dewasa,” kata Ogy yang turut menyalahkan produser tentang program tidak sesuai ini. – MHE TV

Iklan