BAGI penonton era 80-an hingga 90-an pasti anda masih mengingati sebuah drama televisyen bersiri Jepun,  Oshin yang popular di seluruh dunia ketika itu.

Berlatar belakangkan Yamagata, sebuah destinasi indah di Jepun, drama 297 episod itu disiarkan pertama kali oleh stesen televisyen Nippon Hoso Kyokai (NHK) pada 4 April 1983 sehingga 31 Mac 1984.

Merupakan antara drama paling banyak ditonton dalam sejarah hiburan Jepun, ia turut ditayangkan di 68 buah negara lain dengan berbagai terjemahan daripada Bahasa Inggeris hingga Arab. Di Malaysia ia disiarkan pada tahun yang sama di saluran TV3 dengan adaptasi suara ke bahasa Melayu. Individu bernama Azizah Jais meminjamkan suaranya untuk watak Oshin dari kecil hingga dewasa.

Diadaptasi daripada kisah benar seorang wanita Jepun, Katsu Wada, drama bersiri yang diterbitkan oleh Yukiko Okamoto memaparkan kisah hidup dan perjuangan seorang gadis kecil yang dikenali sebagai Oshin (kanak-kanak perempuan) sejak di zaman Meiji hingga ke tahun 80-an.

Oshin berasal daripada sebuah keluarga petani yang sangat miskin. Sewaktu kecil dia terpaksa membanting tulang membantu ayahnya mengerjakan sawah padi untuk kelangsungan hidup mereka sekeluarga.

Bagaimanapun pada usianya yang baru mencecah tujuh tahun, bapanya meminta agar dia bekerja sebagai penjaga kanak-kanak demi membantu keluarganya yang hidup susah ketika itu. Di rumah majikannya, Oshin dilayan dengan kasar, didera mental dan fizikal, namun demi kelangsungan hidup mereka sekeluarga, dia merelakannya.

Seorang guru sekolah di kawasan tersebut begitu simpati dengan nasibnya. Keadaan tersebut mendorong si guru memujuk agar majikannya membenarkan Oshin ke sekolah dengan membawa bersama bayi yang dijaga Oshin tetapi dia dibuli rakan sekelas hingga membahayakan nyawa bayi dalam jagaannya.

Kemuncak drama tersebut, dia dituduh sebagai pencuri oleh majikannya. Biarpun dia seorang yang miskin namun Oshin tidak dapat menerima hakikat dirinya digelar pencuri. Tekad dengan keputusannya, akhirnya Oshin melarikan diri untuk pulang ke rumahnya.

Dia sekali lagi terpaksa melarikan diri dari rumah ketika ayahnya ingin menjualnya kepada seorang lelaki kaya. Malah ayahnya yang merupakan seorang petani miskin bertindak ingin membuang ibu kesayangannya ke sebuah gunung agar mereka tidak ketandusan sumber makanan.

Nasibnya agak baik apabila dia diterima bekerja di sebuah rumah pengusaha beras yang kaya raya dan baik hati. Biarpun ketika itu dia sudah pun dianggap sebagai anak namun dia tetap bekerja keras membantu keluarga tersebut.

Penuh dengan suka duka perjalanan hidup datang silih berganti seperti pernah menjadi pelayan bar dan melewati zaman perang, akhirnya perjuangan Oshin membuahkan hasil.

Dia berjaya membuka pasar raya runcit moden dan terbesar yang dikenali sebagai Yaohan dan bertapak di beberapa negara seperti Singapura, China, Hong Kong, Brazil, USA dan juga Malaysia.

AYAKO KOBAYASHI

Pada 2016, saluran hiburan WakuWaku Jepun telah menayangkan kembali drama ini. Sebahagian daripada usaha untuk mempromosi siri tersebut, pelakon Ayako Kobayashi yang melakonkan watak Oshin semasa kecil telah dibawa ke beberapa negara, termasuk Indonesia. Kedatangan kali kelimanya ke negara tersebut mendapat sambutan cukup hangat.

Semasa ditanya tentang drama tersebut, Ayako mengakui dia tidak pernah terfikir bahawa drama itu akan menjadi sangat popular di seluruh dunia. Malah kerana watak tersebut juga dia turut berpeluang untuk menjelajah ke negara-negara lain.

“Ia adalah bahagian penting dalam karier saya. Sehingga ke hari ini saya dapat berasakan penangannya apabila mereka yang berada di era tersebut memanggil saya dengan gelaran Oshin. Namun anak-anak muda hari ini mungkin hanya pernah mendengar tentang Oshin tetapi tidak mengerti tentang kehebatan watak tersebut,” ujarnya.

Tambahnya lagi, drama bersiri itu masih relevan dengan generasi muda hari ini. Walaupun drama klasik itu telah dirakam 30 tahun lalu, watak Oshin yang menunjukkan sikap dan cara hidup positif itu boleh memberikan suntikan inspirasi kepada pemuda-pemudi dari negara mana sekalipun.

Dalam masa yang sama, aktres yang kini berusia 45 tahun itu juga berharap, para penonton muda dapat belajar daripada karakter Oshin dan sentiasa berfikiran positif.

Ditanya tentang pengalaman yang tidak dapat dilupakannya ketika melakonkan watak tersebut, menurut Ayako dia betul-betul merasai kesedihan yang dilalui oleh Oshin apabila terpaksa berjauhan daripada keluarga ketika kecil. Malah tidak sukar buatnya untuk mengalirkan air mata kerana cerita tersebut amat meruntun jiwa.

“Ketika itu umur saya 10 tahun. Saya seperti anak-anak kecil yang lain masih berada dalam alam permainan, tetapi Oshin banyak mengubah hidup saya. Pun begitu setelah selesai berlakon drama bersiri tersebut, saya bercuti daripada berlakon dan kembali ke sekolah,” ujarnya yang kini meneruskan kerja-kerja di bahagian penerbitan untuk program radio, televisyen dan teater.

SUMBER INSPIRASI

Ternyata drama Oshin berjaya memberikan sentuhan dan kesan mendalam kepada penonton seluruh dunia termasuk Malaysia. Ramai yang menjadikan watak Oshin sebagai sumber inspirasi untuk terus bergerak maju ke hadapan.

Suatu ketika dahulu, seorang wanita Iran pernah ditanya oleh seorang wartawan radio, siapakah simbol wanita Islam? Wanita tersebut menjawab Oshin. Dek kerana  jawapan  tersebut, pemimpin Iran ketika itu,  mengarahkan untuk menahan empat orang pekerja daripada stesen televisyen yang telah menyiarkan program tersebut.

Selain itu, Japan Foundation bersama Jabatan Menteri Hal Ehwal Luar Jepun dan pihak televisyen Mesir juga telah bekerjasama untuk menyiarkan rancangan Oshin berserta sari kata dalam bahasa Arab di Iraq secara percuma. Ini sebagai satu bantuan dalam usaha untuk membentuk semula negara tersebut.

Sebanyak 96 episod ditayangkan di Iraq dan penyiarannya ketika itu  diharap akan dapat membantu rakyat Iraq yang telah banyak menderita untuk kembali bersemangat memperbaiki hidup mereka.

Antara pengajaran lain yang dapat dipetik daripada drama tersebut, biarpun berhadapan dengan pelbagai dugaan namun itu bukanlah menjadi alasan bagi kita untuk menuding jari kepada orang lain. Malah kita perlu sedaya upaya untuk keluar daripada masalah tersebut.

Jalan cerita yang penuh berliku yang dilalui daripada zaman kecil sehingga besar bukanlah kisah dongeng seperti seorang gadis miskin yang berkahwin dengan putera Raja dan hidup bahagia selamanya. Oshin bukanlah drama fantasi, tetapi realiti kehidupan.

Ia penuh dengan inspirasi untuk terus berjuang keluar daripada kemiskinan hidup. Selain daripada itu ia memberi pengajaran bahawa untuk mengecapi kejayaan bukanlah perkara yang mudah tetapi perlu melalui kesukaran terlebih dahulu.

Iklan