Baru- baru ini kecoh kes seorang lelaki yang digelar sebagai abang botak dikenakan hukuman 12 bulan penjara kerana memecahkan cermin depan sebuah kereta.

Hukuman tersebut nyata membuatkan sesetengah masyarakat tidak berpuas hati kerana dianggap terlalu berat.

Seorang peguam, Suzana Norlihan Ujen turut sama berpendapat di mana hukuman tersebut terlalu berat.

Atas dasar itu beliau tampil menawarkan diri secara sukarela membantu pesalah tersebut.

Baginya, hukuman yang dikenakan pada abang botak atau nama sebenarnya Danila Abdullah Tan, 31 sebagai tidak adil.

Peguam Suzana bersama salah seorang pesalah yang dibantunya secara percuma.

Beliau berkata tindakan itu bukan menyokong perbuatan pemuda terbabit tetapi sekadar menegakkan keadilan buat pemuda itu.

Peguam tersebut turut mengaitkan bagaimana kes Lan Pet Pet yang memukul pengawal keselamatan hanya dikenakan hukuman denda RM2000.

“Saya nak appeal sebab saya nak masyarakat tahu bahawa jika Lan Pet Pet boleh dapat denda Rm2k pukul guard, kenapa abang botak tak boleh?

“Bukan nak jadikan abang botak tu hero. Tapi nak tegakkan keadilan yang makin pupus kat Malaysia ni,” katanya melalui satu hantaran di Facebook.

Kes Abang Botak tular dalam media selepas menghentak cermin kereta seorang individu.

Bagaimanapun dalam status terbaharu, peguam tersebut telah mengatakan akan menarik diri bagi mewakili abang botak.

“Alhamdulillah. Saya telah dimaklumkan bahawa abang botak telah diwakili oleh seorang peguam sewaktu kes berjalan di Mahkamah Majistret PJ.

“Sebagai seorang peguam senior dan berpegang kepada etika, saya sendiri telah menghubungi peguam tersebut pada pukul 1.16 petang tadi untuk mendapatkan penjelasan lanjut dan mengetahui status terkini.

” Alhamdulillah, beliau memaklumkan bahawa beliau akan meneruskan usaha untuk membantu abang botak dalam proses rayuan dan semakan. Terima kasih kepada peguam Encik Rajsurian atas usaha menjejaki peguam tersebut dan memberikan saya contact number beliau.

“Oleh yang demikian, saya dan rakan- rakan iaitu Puan Samantha CH, Puan Siti Kasim tidak akan mengendalikan kes abang botak ini kerana beliau sudah pun diwakili oleh peguam terbabit,” jelasnya. – MHE TV

Iklan