BUAT julung kalinya, audiens perlu membeli tiket untuk menonton pentas akhir Anugerah Juara Lagu ke-33 (AJL 33) yang bakal diadakan pada 3 Februari ini di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil.

Tidak pernah berlaku dalam sejarah penganjuran AJL, pihak produksi hari ini menerusi satu kenyataan akhbar menjelaskan bahawa tiket untuk menonton AJL 33 mula dijual pada Isnin ini.

Menurut Pengurus Hiburan Primeworks Studio, Muhammad Sufian Che Isa, semua peminat AJL akan mendapat peluang sama dalam mendapatkan tiket AJL 33 secara atas talian.

“Oleh itu, kami menyeru kepada semua peminat untuk melayari www.myticket.asia pada 7 Januari 2019.

“Dapatkan segera sebelum tiket habis, kerana dengan harga yang amat rendah, pasti tiket akan habis dalam masa singkat,” gesanya.

AJL 33 mempunyai tiga jenis tiket dengan harga berbeza iaitu Aras 4 (RM25), Aras 3 (RM35), dan Arena (RM55).

Untuk maklumat lanjut, layari www.xtra.com.my atau ikuti media sosial rasmi TV3 Malaysia sama ada di Facebook, Instagram dan Twitter. – MHE TV

Iklan