Kemunculan hero Malaya Remi Ishak sebagai hos jemputan dalam rancangan Meletop bergandingan dengan Neelofa, mendapat pujian peminat yang rata-ratanya teruja dengan ‘kemesraan’ yang dipamerkan sepanjang program itu berlangsung malam tadi.

Menerusi beberapa keping foto yang dikongsikan di Instagram miliknya, pelakon yang popular dengan jolokan ‘Kanda’ itu turut mengungkapkan penghargaan kepada semua pihak yang memberi kepercayaan kepadanya untuk mengacarakan program popular tersebut.

“Kanda memang tak pandai bab-bab hosting ni, bukan bidang dan kepakaran kanda. Tapi bila orang panggil dan bagi peluang, kanda sambut je, nak cuba kelainanlah katakan…hehe! Tapi bila dah buat sekali, rasa nak lagi la pulak,” ujarnya berseloroh.

Peminat mahu gandingan Remy dan Neelofa diteruskan sebagai pasangan hero dan heroin dalam drama.

Namun apa yang lebih menarik perhatian ialah apabila ramai peminat mahu gandingan Remy dan Neelofa diteruskan dalam drama. Malah ada yang memetik nama Michael Ang supaya mengambil mereka sebagai pasangan hero dan heroin dalam drama terbaharu pengarah itu nanti.

“Director @michaelang38 please ambil tindakan gandingkan @remyishak dan @neelofa untuk lain drama. Ramai sangat dah request nie harap tertunailah,” memetik komen salah seorang peminat.

Hmm nampaknya saham kanda Remy semakin hari semakin melonjak. Auranya bukan biasa-biasa. Selepas berjaya sebagai pelakon, pengacara dan juri program Maharaja Lawak Mega 2018, mungkin lepas ni peminat boleh dengar Remy buat single pula, mengapa tidak kan. – MHE TV

Iklan