Sebaik menamatkan saingan dalam program Da’i Pendakwah Nusantara musim keempat, nama Syed Iqmal, 24, tidak begitu dikenali sebagai pendakwah jika hendak dibandingkan dengan peserta lain.

Sebaliknya, personaliti dimiliki Syed atau Syed Shah Iqmal Syed Mohd. Shaiful Jamalullail dilihat sama dengan kebanyakan artis sedia ada terutama dari sudut imej dan penampilan.

Maka tidak hairanlah, perwatakan pemuda berwajah ‘jambu’ itu sering dikritik oleh segelintir warganet yang mempersoalkan statusnya sebagai peserta Da’i.

“Jujurnya, saya sering berhadapan dengan orang awam yang bertanyakan sama ada saya ini da’i atau tidak.

“Ini kerana bagi mereka, pakaian yang saya gayakan tidak menampakkan imej seorang da’i atau pendakwah,” kata Syed menceritakan pengalamannya.

Anak kelahiran Arau, Perlis itu menjelaskan, dia sama seperti orang biasa, malah status Da’i yang dilabel adalah dek penyertaannya dalam program berunsurkan Islamik tersebut.

“Inilah imej dan penampilan saya sejak dulu lagi iaitu personaliti yang mudah didekati khalayak umum.

“Ibarat pelangi yang beraneka warna, begitu jugalah halnya dengan pendakwah. Ada yang tegas, lucu, lembut dan cute,” jelasnya berseloroh.

Berkelulusan Diploma Dirasat Islamiyyah dari Kolej Maahad Buuth Al-Islamiyyah, Kaherah, Mesir, Syed menegaskan, Allah tidak menilai seseorang berdasarkan pakaian, namun amalan dan hatinya ketika menyampaikan dakwah.

Syed Iqmal akan kekalkan imejnya biarpun menjadi pertikaian segelintir warganet

Berbicara soal seni, Syed memberitahu bahawa dia baru sahaja selesai mengacarakan sebuah program televisyen berjudul Ustaz Ronda Ronda, terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Terkini, anak muda berkenaan dalam proses menyiapkan single nyanyiannya untuk mencuba nasib sebagai seorang penyanyi lagu berunsurkan kerohanian dan nasihat. – MHE TV

Iklan