Pemilik produksi DA Motion Media iaitu Datuk Mokhairul Shamsul Mokhtar, 46, maut setelah terbabit dalam satu kemalangan di Jalan Kuching berhampiran Segambut.

Allahyarham Mokhairul difahamkan telah dilanggar sewaktu sedang menukar tayar keretanya yang pancit.

Penerbit Eksekutif DA Motion Media, Azhari Hamid memberitahu, arwah yang memandu sendirian berhenti di bawah jejambat berdekatan Segambut sebaik sedar tayar keretanya pancit.

“Ketika itu, dia dalam perjalanan pulang selepas selesai mengagihkan sumbangan Aidilfitri kepada anak-anak yatim dalam sebuah majlis di ibu kota.

“Kemalangan dianggarkan berlaku pada pukul 4.30 pagi dan arwah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi.

Tambah Azhari, produksi milik arwah baru setahun ditubuhkan sedang giat menyiapkan filem sulungnya berjudul Jodoh Syaitan dan dijangka menjengah pawagam pada tahun hadapan.

“Bahkan, penggambaran filem Mama iaitu naskhah kedua keluaran syarikatnya juga sudah memasuki fasa terakhir untuk disiapkan.

“Tetapi sayang, arwah tidak sempat menyaksikan ‘bayi sulungnya’ itu lahir,” jelas Azhari yang turut berasa ralat.

Mokhairul lebih mesra disapa dengan nama Asey sewaktu arwah mula bertugas sebagai Pengurus Produksi di Metrowealth Pictures milik penerbit terkenal, David Teo. – MHE TV

Iklan