Atlet sukan ekstrem, Mat Redho yang sebelum ini pernah mengharumkan nama negara diumumkan sebagai penerima Anugerah Perdana Belia Negara 2018, malam tadi.

Redho, 31 atau Mohd. Redha Rozlan menerima pengiktirafan tersebut dalam sebuah majlis anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang diadakan malam tadi di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi.

“Alhamdulillah, pengorbanan sama ada dari segi masa, wang dan tenaga dirasakan berbaloi atas penganugerahan yang diberikan kepada saya ini,” katanya.

Lebih membanggakan pelakon drama Manis itu, anugerah tersebut disampaikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Redho menerima anugerah yang disampaikan oleh Perdana Menteri sambil disaksikan Syed Saddiq.

Selain plak anugerah, majlis yang turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman itu juga menyaksikan Redho menerima habuan wang tunai berjumlah RM10,000.

“Saya dedikasikan kejayaan ini buat isteri tercinta, Nureain Kamdan yang sentiasa ‘cucuk angin’ dalam setiap kejohanan disertai.

“Tak lupa, terima kasih atas titipan doa daripada ahli keluarga dan sabahat handai yang memacu saya untuk terus mendaki ke puncak,” ucapnya memberi penghargaan.

Mat Redho berehat seketika dari bidang lakonan.

Kakitangan yang bertugas di Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) itu pada masa sama turut menghargai jasa baik majikannya kerana sentiasa menyokong kegiatannya.

November lalu, Redho menjuarai Ninja Challenge League (NCL) di Perth, Australia dan baru-baru ini, dia berjaya memenangi tempat ketiga dalam kejohanan OCR Ninja di Manila, Filipina. – MHE TV

Iklan