Tindakan ala samseng seorang lelaki warga Myanmar menyembur serbuk lada ke atas empat anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengundang padah apabila dia diberkas polis, semalam.

Difahamkan, suspek berbuat demikian kerana berang selepas barang jualannya disita ketika DBKL menjalankan pemeriksaan jam 11 pagi di Pasar Borong Selayang, lapor Harian Metro.

Tindakan warga asing berkenaan telah menyebabkan anggota penguat kuasa terlibat cedera di bahagian mata. Dipercayai, kejadian itu berlaku ketika empat anggota terbabit sedang menulis senarai barang sitaan dalam pasar tersebut.

Menurut Pengarah Penguatkuasa DBKL Azman Mahmood, sekumpulan peniaga warga Myanmar telah membuat provokasi dengan melemparkan kata-kata kesat terhadap beberapa pegawai dan anggota penguat kuasa. Mereka yang berniaga tanpa lesen ini tidak berpuas hati sejurus barangan jualan di sita oleh petugas DBKL.

Selain itu, kumpulan peniaga sayur warga asing di luar pasar itu turut bertindak merakam gambar walaupun diminta anggota bertugas supaya memadamkan gambar berkenaan.

Arahan itu bagaimanapun tidak diendahkan sehingga berlaku pertengkaran antara petugas DBKL dengan peniaga warga asing tersebut. Bagaimanapun, jelas Azman, situasi dapat dikawal sepenuhnya.

Namun, sewaktu petugas DBKL menulis senarai barangan yang disita, secara tiba-tiba seorang lelaki (suspek) bertindak menyerang menggunakan penyembur lada ke arah anggota terlibat. Selain itu, turut berlaku pergelutan antara kedua-dua pihak.

Tidak lama selepas itu, suspek telah ditahan dan dibawa ke Balai Polis Jinjang untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, empat orang anggota yang dilaporkan cedera telah dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur kira-kira jam 6 petang, semalam.

Pemeriksaan DBKL di Pasar Borong Selayang semalam turut menyita lebih 20 kenderaan dipercayai milik peniaga warga Myanmar yang berniaga di luar pasar borong terbabit.

Hasil semakan dibuat mendapati, sebanyak lima kenderaan disyaki kenderaan curi. DBKL turut merampas sayur-sayuran milik peniaga asing berkenaan kerana berniaga tanpa lesen. Dipercayai, bekalan sayur terbabit dibeli daripada pembekal dari Cameron Highland, Pahang.

Hasil siasatan lanjut DBKL, kumpulan peniaga ini kerap dilihat menjalankan aktiviti menjual sayur di luar pasar borong terbabit.

Untuk tindakan lanjut, jelas Azman, pihaknya akan melakukan pemantauan secara berkala ke atas peniaga warga asing yang berniaga tanpa lesen di pasar borong itu.-MHE TV

Sumber gambar: Facebook rasmi DBKL

Iklan