Malam itu, suasana rumah Rahman, 50, kecoh. Anaknya Irfan, 17 tahun meronta-ronta di anjung rumah minta dilepaskan setelah dibawa balik oleh rakannya Zairi, 17 tahun. 

Gelagat Irfan seperti diserang histeria. Matanya terbuntang luas. Air liur meleleh melalui mulut. Setiap inci tubuhnya dibasahi peluh yang mengalir.

“Lepaskan aku. Lepaskan aku. Aku nak ke paya tu,” jerit Irfan seperti dirasuk. Ketika itu, beberapa orang jiran yang mendengar jeritan Irfan bergegas datang ke rumah Rahman untuk mengetahui apa yang berlaku.

Mereka melihat Irfan meronta-ronta dan cuba melarikan diri ke belakang rumah. Bimbang Irfan melarikan diri, beberapa orang terpaksa memegangnya. Tiga orang lelaki yang memegang tubuh Irfan rasa tercabar juga dengan kudrat Irfan walaupun bertubuh kecil.

Ibu Irfan, Rozana, 47, pula menangis teresak-esak melihat kelakuan anak tunggalnya yang sedang meracau itu.

Selepas 15 minit, datang seorang imam masjid yang kebetulan melalui jalan di hadapan rumah Rahman. Melihat rumah Rahman dipenuhi orang, iman tersebut berhenti untuk mengetahui sebabnya.

“Kenapa ni?”soal imam Bakar sebaik naik ke anjung rumah.

Sebaik diberitahu keadaan Irfan dan melihat matanya yang terbuntang luas, imam Bakar dapat mengagak ada sesuatu yang tidak kena.

“Aku rasa dia kena sampuk. Bawakan aku segelas air,” pinta imam Bakar sebelum Rozana bergegas masuk ke dalam rumah dan keluar semula dengan  semangkuk air di tangan.

Sambil itu, mulut imam Bakar bergerak-gerak membaca ayat Kursi dan selawat yang berulang kali sebelum dihembus ke telinga Irfan. Kemudian air tadi dibacakan doa pula. Selepas itu, imam Bakar menyapu air putih tadi ke muka Irfan. 

Sebaik disapu, Irfan berhenti meronta dan kembali sedar. Tetapi badannya masih dalam keadaan lemah. Irfan bernafas tercungap-cungap seperti baru berhenti berlari.

Zairi yang sedang tersandar di dinding akibat terkejut dengan kejadian menimpa rakannya itu mula diajukan soalan oleh beberapa penduduk kampung dan Rahman.

“Kenapa ni Zairi. Kenapa Irfan jadi macam ni,” soal Rahman kepada Zairi yang masih menggeletar tubuhnya. Muka Zairi juga pucat, seolah-olah tiada darah yang mengalir.

Setelah diasak berkali-kali, barulah Zairi bersuara. Itupun dalam keadaan terketar-ketar.

Malam itu, Zairi ceritakan apa yang berlaku. 

Ceritanya, selepas maghrib dia dan Irfan meredah belukar dan semak samun di kawasan paya belakang rumah mereka. Mereka berdua mahu menahan jaring untuk menjerat burung ruak- ruak yang diketahui banyak di belukar tersebut.

Burung ruak-ruak atau nama saintifiknya, Amaurornis phoenicurus.

Selepas siap memasang jaring, Irfan yang pandai mendekuk, terus memanggil burung tersebut menggunakan sejenis alat yang dipanggil pipit yang mengeluarkan bunyi sama seperti suara burung ruak ruak.

Selepas 10 minit mendekuk, mereka mula terasa seram. Tiba-tiba sahaja angin bertiup kencang hingga membuatkan mereka terasa seram sejuk. Mereka juga terdengar seperti ada seseorang yang sedang memerhatikan mereka.

Zairi yang mula terasa takut mengajak Irfan balik sebab dia rasa tak sedap hati. Tapi Irfan menolak sebab ketika itu burung ruak ruak sedang rancak menyahut panggilan Irfan.

“Tak ada apalah. Kita tunggu lagi. Engkau jangan takut,” kata Irfan tidak mengendahkan ajakan Zairi.

Selepas memanggil hampir 15 minit, tiba-tiba datang burung ruak ruak yang banyak melanggar jaring yang mereka pasang. Hampir 20 ekor yang tersangkut pada jaring. Akibat terlampau seronok kerana banyak burung yang datang, perasaan takut pun mula hilang. Irfan terus rancak mendekuk.

“Sebab terlampau banyak ada antara burung  datang, kami tangkap dengan tangan saja. Burung-burung tu macam khayal. Lepas tu kami isi dalam guni. Dekat lima ekor. Itu belum masuk yang tersangkut dekat jaring lagi,” cerita Zairi.

Sedang rancak mengutip hasil, tiba-tiba mereka di kejutkan dengan kehadiran seekor burung ruak ruak yang besarnya amat luar biasa. Ianya lebih besar dari seorang lelaki dewasa. Burung itu terbang laju sebelum merempuh jaring mereka.

Waktu itu, mereka berdua terpaku. Tiada kata-kata yang mampu diucapkan. Guni berisi burung di pegang Zairi  terlepas jatuh ke tanah sebelum semua tangkapan terlepas keluar.

Dalam keadaan terpaku itu, jelas di mata muncul seekor lembaga berwarna hitam pekat, bermata merah tetapi berbentuk seperti burung memerhatikan mereka.

Sedang rancak mengutip hasil, tiba-tiba mereka di kejutkan dengan kehadiran seekor burung ruak ruak yang besarnya amat luar biasa.

Selepas beberapa saat, lembaga itu terus hilang. Irfan pula terus meracau-racau, menjerit seperti orang hilang akal dan mahu lari ke dalam belukar sebelum dipegang oleh Zairi.

“Lepas tulah saya bersusah payah heret Irfan bawa balik rumah sebab dia nak lari ke dalam belukar tu,” cerita Zairi dengan linangan air mata.

Cerita Zairi itu membuatkan anak-anak muda di situ semuanya tercengang. Yang tua pula hanya geleng kepala. Kemudian seorang jiran yang dipanggil Zubir bersuara.

“Nak tangkap burung tu bukan boleh senang-senang. Kena ada ilmu sikit. Burung ni berhantu. Kena beringatlah setiap makhluk dalam hutan tu ada penjaganya.

“Kalau dapat dua tiga ekor, cukuplah untuk dimakan. Baliklah…jangan tamak. Tangkap yang hendak dimakan sahaja. Kalau semakin banyak yang datang secara tiba-tiba, cepatlah angkat kaki. Ada yang tak kena tu,” pesan Zubir serius.

Selepas Zubir bercerita seorang demi seorang mula membuka kisah tentang misteri dan kejadian aneh berkaitan burung tersebut.

Malam itu, misteri burung ruak ruak terus terbongkar. Boleh dikatakan hampir semua jiran yang ada di rumah Rahman pernah mengalami kejadian aneh berkaitan semasa menjerat burung tersebut.

Seorang jiran yang dipanggil Wak Karman bercerita bagaimana dia membela seekor anak burung itu selepas menemuinya di kebun pisangnya.  

Wak Karman buat keputusan untuk membawa balik burung itu untuk dibela. Di rumah anak burung itu dimasukkan ke dalam sangkar kemudian diletakkan di bahagian dapur.

Malamnya semasa tidur burung tersebut mula mengganggu. Dari dalam bilik, Wak Karman dan isterinya boleh dengar dengan jelas bunyi bising seperti perabot diseret dan dialihkan ke tempat lain.

Kalau hendak dikira bisingnya memang seperti perabot di dalam rumah Wak Karman beralih tempat. Tapi bila Wak Karman keluar bilik, bunyi tadi terus senyap. Bila tengok ruang tamu pula tiada satu pun perabot yang beralih. Masih di tempat yang sama.

Mulanya Wak Karman fikir mungkin ada penyamun yang memecah masuk ke dalam rumahnya. Tapi bila disiasat tiada sesiapa.

Keesokan malamnya, kejadian sama berulang lagi. Bunyi sama terus mengganggu keluarga Wak Karman sehingga pukul tiga pagi.

Pada pukul dua pagi, ketika anak perempuan Wak Karman berusia 16 tahun hendak ke tandas, dia ternampak satu lembaga menyerupai burung berwarna hitam pekat di bahagian dapur. Bila anaknya menjerit makhluk itu terus ghaib.

Akibat kejadian itu, Wak Karman terus melepaskan anak burung tersebut. Tidak mahu lagi dia membelanya. 

Seorang lagi jiran Rahman bernama Dollah, juga mempunyai pengalaman menakutkan ketika mendekut burung ruak ruak. Cerita Dollah, suatu malam seorang diri dia pergi mendekut tepi semak samun berhampiran rumahnya.

Hampir setengah jam memanggil, tidak kurang enam ekor burung itu tersangkut pada jaring di pasangnya. Burung yang terjerat dimasukkan ke dalam sangkar yang dibawanya. Dia bercadang mahu sambung mendekut lagi.

Tapi baru hendak mula, tiba-tiba Dollah terdengar suatu suara garau.

“Sudah-sudahlah tu. Cukuplah,” kata suara garau itu membuatkan Dollah menggeletar ketakutan.

Dollah menyuluh kawasan sekitar mencari pemilik suara tersebut. Tapi tiada sesiapa di situ melainkan dia seorang diri. Waktu itu tiada apa lagi yang difikirkan Dollah kecuali…PENUNGGU RUAK RUAK!

Burung ruak- ruak diketahui banyak berada di dalam belukar.

Sepantas kilat Dollah berlari meredah semak samun hingga terluka, pulang ke rumahnya. Burung di dalam sangkar yang sudah ditangkap ditinggalkan begitu sahaja kerana terlampau takut.

Esoknya Dollah pergi semula ke lokasi dia memukat burung tersebut untuk mengambil hasil yang ditinggalkan semalam.

Bila sampai Dollah terkejut. Dollah lihat tiada seekor pun burung di dalam sangkar tersebut. Yang tinggal  enam helai daun kering sama seperti jumlah burung ruak ruak yang berjaya ditangkapnya semalam.

“Nak kata burung tu keluar tak juga sebab pintu sangkar tu masih berkunci kemas. Saya ikat dengan dawai. Saya rasa apa yang saya tangkap malam tu ialah penunggu. Bukan burung ruak ruak,” cerita Dollah membuatkan semua yang mendengar terasa seram sejuk. – MHE TV

Iklan