Baru sahaja kita dikejutkan dengan berita pelakon Sofi Jikan dijatuhkan hukuman penjara beberapa hari lalu, hari ini seorang penyanyi pula ditahan juga kerana dadah.

Penyanyi kumpulan rock era 90-an ini ditahan selepas polis menemukan satu peket plastik lut sinar yang dipercayai mengandungi dadah methamphetamine seberat 0.6 gram di sebuah kabin di Taman Tenaga, Cheras, semalam.

Penyanyi berusia 43 itu ditahan kira-kira pukul 9.30 malam oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras.

Menurut laporan Utusan Online, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, suspek ditahan bersama dadah yang dianggarkan bernilai RM100 di dalam sebuah kabin bersebelahan tempat cuci kenderaan.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine, amphetamin dan tetra hydrocannabinol (THC).

“Suspek kini di tahan Balai Polis Cheras dan direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Difahamkan, kumpulan rock terbabit ditubuhkan pada 1994 dengan dianggotai empat orang dan kali terakhir mengeluarkan album pada tahun 2014. -MHE TV

Iklan