Sering kali imej seksinya menjadi bualan hangat warganet sehingga adakala mencetuskan kontroversi, namun Zizi Kirana, 34, sama sekali tidak tunduk dengan kecaman yang dilemparkan.

Baru-baru ini, penampilannya yang memberahikan usai membuat keputusan untuk bertudung litup sepanjang Ramadan lalu telah menimbulkan pelbagai tanggapan negatif dalam kalangan warganet ke atas penyanyi rap wanita berkenaan.

“Jujurnya, saya kembali berimej seperti ini sebaik saja Ramadan melabuhkan tirai bagi meraikan kehadiran Syawal.

“Disebabkan itu, tak dinafikan saya menerima banyak komen-komen berbaur hinaan dan kejian daripada warganet terutama pengguna laman Instagram.

“Lebih teruk, ada segelintir pengikut lelaki bertindak menghantar mesej-mesej lucah dek penilaian dengkel dibuat mereka berdasarkan penampilan saya ini,” kata Zizi menceritakan pengalamannya.

Biarpun terpaksa berhadapan dengan kata-kata negatif tersebut, Zizi akur dan mengaku bahawa dia tidak mampu mengubah tanggapan sedia ada berkaitan imejnya.

“Warganet kalau berhujah seolah-olah mereka benar belaka.

“Patutnya, perbetulkan hati kau dulu, jangan sampai jadi gila!” bidasnya menempelak setiap cercaan biadab warganet.

“Penampilan bertudung itu adalah demi menyahut cabaran Mizz Nina agar semua wanita menutup aurat bagi menghormati kemuliaan Ramadan.

“Semua itu saya lakukan atas kerelaan hati, tidak dipaksa oleh siapa-siapa,” ujarnya.

Pun begitu, Zizi yang sememangnya dikenali sebagai seorang gadis selamba dan rileks enggan mengambil sebarang tindakan susulan terhadap individu-individu yang terlibat. – MHE TV

Iklan