Penyanyi dan pemain piano, Daryl Dragon yang juga dikenali sebagai ‘The Captain’ dari duo popular era 1970-an, Captain and Tennille menghembuskan nafas terakhir di samping bekas isterinya pada usia 76 tahun, semalam.

Menurut laporan Reuters, Dragon meninggal dunia pada Rabu di Prescott, Arizona akibat kegagalan buah pinggang. Kematian Dragon disahkan jurucakapnya, Harlon Boll.

Captain and Tennile yang popular dengan lagu ‘Love Will Keep Us Together’ pernah menang Anugerah Grammy pada tahun 1974 selain dua lagi lagu iaitu ‘Muskat Love’ pada 1976 dan ‘Do That to Me One More Time’ pada 1980.

Duo Captain and Tennille yang cukup popular pada era 70-an.

Mereka jua membintangi siri televisyen sendiri pada tahun 1976 hingga 1977.

Dragon dan Tono Tennille berpisah pada 2013 dan bercerai setahun selepas itu. Namun hubungan mereka tetap baik sebagai kawan. Difahamkan Tennile berpindah ke Arizona untuk menjaga Dragon.

“Dia adalah pemuzik bijak yang sangat disayangi ramai. Saya berada dalam fasa paling kreatif sewaktu bersamanya,” ungkap Tennille dalam satu kenyataan.

Tennille dalam satu catatan di blognya pada 2010, mengatakan Dragon menderita gangguan neurologi yang mengakibatkan tangannya bergetar dan mempengaruhi kemampuannya bermain keyboard. – MHETV

Iklan