Selepas 14 hari berkempen, maka hari ini seramai 31,639 pengundi di Cameron Highlands membuat pilihan siapakah yang akan mewakili suara mereka di Parlimen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu.

Empat calon yang bertanding adalah daripada Pakatan Harapan iaitu Timbalan Pengerusi DAP Pahang, M.Manogaran, bekas pegawai kanan polis, Ramli Mohd Nor mewakili Barisan Nasional (BN), serta dua calon Bebas iaitu bekas pensyarah kanan Institut Aminuddin Baki, Sallehudin Ab. Talib dan Wong Seng Yee yang merupakan petani tempatan.

Semua 29 pusat mengundi dengan masing-masing 17 bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanah Rata, serta 12 lagi di DUN Jelai dibuka tepat pukul 8 pagi bagi membolehkan pengundi menunaikan tanggungjawab mereka.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), 29 pusat mengundi itu yang semuanya melibatkan bangunan sekolah akan ditutup secara berperingkat dengan sebuah ditutup pada 1 tengah hari; lima (2 petang); sembilan (3 petang); satu (3.30 petang); tujuh (4 petang) dan enam pada 5.30 petang.

Bagi pengundian hari ini, SPR membuka sebanyak 86 saluran bagi melancarkan pengundian. – Bernama

Ruang komen